Skip to main content

Malaysia

45 PATI ditahan dalam serbuan imigresen di Selangor

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dalam membanteras serta mengekang majikan yang masih gagal mematuhi dasar dan polisi semasa kerajaan berkaitan penggajian pekerja asing.
Operasi tersebut menyasarkan lapan premis di beberapa lokasi tumpuan termasuk Semenyih, Jenjarom, Seri Kembangan, Cheras dan Serdang. - Gambar/ JIM

KUALA LUMPUR: Seramai 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas dalam satu operasi bersepadu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dilaksanakan di beberapa kawasan sekitar Selangor pada Khamis.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan, operasi tersebut menyasarkan lapan premis di beberapa lokasi tumpuan termasuk Semenyih, Jenjarom, Seri Kembangan, Cheras dan Serdang.

Advertisement

Menurut beliau, serbuan itu digerakkan oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya sekitar jam 11 pagi selepas hasil risikan dan aduan awam dikumpulkan.

“Operasi ini dilaksanakan susulan maklumat yang diterima daripada orang ramai serta risikan yang telah dijalankan selama dua minggu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, seramai 52 pegawai penguat kuasa daripada pelbagai pangkat terlibat dalam operasi berkenaan bagi memastikan tindakan berjalan lancar dan teratur.

Dalam operasi itu, pihak JIM turut menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 88 individu yang berada di premis-premis terlibat.

“Daripada jumlah itu, 66 merupakan warga asing manakala selebihnya adalah warga tempatan,” katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian daripada warga asing terbabit dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Seramai 45 individu warga asing telah ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas yang ditetapkan,” katanya.

Tambah Zakaria, kesemua PATI yang ditahan telah dibawa ke depot tahanan imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Beliau turut menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negara ini.

“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk majikan yang menggaji warga asing secara tidak sah,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan dan memastikan kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara.

Must Watch Video