MEXICO CITY: Sembilan orang maut selepas pentas dalam acara kempen parti politik runtuh pada petang Rabu di negeri Nuevo Leon di utara Mexico.

Gabenor negeri Samuel Garcia menerusi media sosialnya memaklumkan, kira-kira 50 orang turut cedera dalam insiden tersebut, dan mereka kini dirawat di klinik tempatan.

Menurut Garcia, mangsa yang maut adalah lapan orang dewasa dan seorang kanak-kanak.

Jorge Alvarez Maynez, calon presiden untuk parti politik yang menganjurkan acara itu berkata, angin kuat menyebabkan pentas runtuh pada kempen di bandar San Pedro Garza Garcia itu.

Video insiden menunjukkan struktur tersebut tiba-tiba jatuh ke hadapan dan menghempap orang ramai.

Keadaan itu menyebabkan ahli politik di atas pentas berlari mencari perlindungan bersama orang ramai yang panik dengan kejadian itu.

“Ia peristiwa yang sangat luar biasa. Apa yang kami alami berlaku dalam beberapa saat sahaja.

“Angin kuat datang, dan dengan tiba-tiba pentas runtuh, mengakibatkan kematian,” kata Alvarez Maynez kepada Reuters.

Alvarez Maynez, yang kembali ke tempat kejadian memaklumkan pihaknya menangguhkan aktiviti kempen dan berharap pihak berkuasa menyiasat apa yang berlaku, serta meminta ketelusan dalam proses siasatan.

Dalam perkembangan sama, penyelaras kempen Alvarez Maynez, Laura Ballesteros telah dimasukkan ke hospital setelah mengalami patah kaki, menurut kenyataan parti itu.

Calon datuk bandar untuk San Pedro Garza Garcia, Lorenia Canavati, menulis di media sosial bahawa beliau sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu mereka yang terjejas serta keluarga mereka.

Gabenor Garcia memberi amaran kepada penduduk untuk diam di dalam rumah ketika ribut petir yang kuat melanda kawasan itu.