PENULIS Filipina yang memenangi pelbagai anugerah, Marra PL. Lanot meninggal dunia pada 16 Ogos lalu, pada usia 82 tahun selepas menjalani tempoh rawatan yang panjang di hospital.
Memetik laporan media antarabangsa, keluarganya bagaimanapun tidak mendedahkan punca kematian penulis, penyair dan wartawan bebas berkenaan.
Lanot dikenali sebagai penyair dan penulis esei dalam tiga bahasa iaitu Filipino, Inggeris dan Sepanyol.
Kumpulan puisi pertamanya, Sheaves of Things Burning, memenangi hadiah kedua kategori puisi dalam Palanca Awards 1967, sebelum beliau meraih hadiah pertama kategori esei pada 1980 menerusi karya Deja Vu In America: Or, One of the Songs.
Beliau turut menerima Catholic Mass Media Award dan pada 2020 dianugerahkan Gawad Pambansang Alagad ni Balagtas atas sumbangannya dalam bidang puisi dan esei berbahasa Inggeris.
Lanot pernah memegang jawatan di Cultural Center of the Philippines, serta Movie and Television Rating and Classification Board.
Sementara itu, keluarganya dalam kenyataan menambah Lanot akan sentiasa dikenang kerana sifat baik hati, pemurah dan kecintaannya terhadap kehidupan.
“Jika beliau menyayangi anda, anda pasti mengetahuinya — beliau bukanlah seorang yang menyembunyikan perasaan itu,” menurut kenyataan tersebut.