KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long perlu tampil segera bagi membantu pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu mafia korporat agar keadilan dapat ditegakkan untuk semua pihak.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengambil serius kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat berhubung komitmen kerajaan untuk mendedahkan laporan siasatan berkaitan dakwaan kewujudan kumpulan yang digelar sebagai mafia korporat dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, MCW berpandangan bahawa komitmen tersebut perlu diterjemahkan melalui siasatan yang menyeluruh, bebas, telus dan tanpa campur tangan mana-mana pihak berkepentingan.
“MCW menggesa Victor Chin serta mana-mana individu lain yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut supaya tampil memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, sekiranya dipanggil atau mempunyai maklumat yang relevan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar pada Selasa berjanji mendedahkan laporan siasatan dakwaan mafia korporat dalam tempoh tiga bulan, sambil menegaskan tiada sesiapa akan dilindungi.
“Kalau disebut ada bukti, keluarkanlah. Tidak kiralah nama yang disebut tadi, sama ada Azam Baki, Farhash atau Victor Chin,” kata Anwar pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Anwar turut meminta Peguam Negara, Datuk Dusuki Mokhtar mengetuai pasukan petugas yang melibatkan SPRM, PDRM, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan AMLA.
Mengulas lanjut, Jais menjelaskan, MCW sebelum ini juga telah membuat laporan polis bagi memohon siasatan terhadap dakwaan yang melibatkan Victor Chin dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Abu Hanipah Noordin, khususnya berhubung persoalan pengurusan dana korporat dan kemungkinan berlakunya penyelewengan kewangan.
Bagaimanapun katanya, MCW masih mengharapkan penjelasan rasmi mengenai perkembangan dan status siasatan susulan laporan berkenaan.
“Apabila Perdana Menteri sendiri menyebut nama beberapa individu, termasuk Azam Baki, Farhash dan Victor Chin, dalam perbahasan Parlimen, perhatian masyarakat terhadap isu ini tentunya semakin meningkat.
“Namun, penyebutan nama seseorang tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa individu berkenaan telah melakukan kesalahan.
“MCW menegaskan bahawa siasatan tidak boleh bersifat terpilih, tidak boleh melindungi individu berpengaruh dan tidak boleh dijadikan instrumen untuk menghukum seseorang melalui persepsi awam,” ujarnya.
Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, tegasnya, tindakan undang-undang hendaklah diambil tanpa mengira kedudukan, pengaruh politik atau kekuatan ekonomi individu yang terlibat.
Sebaliknya, jelas beliau, jika dakwaan tidak berasas, perkara itu juga perlu dijelaskan secara terbuka bagi memulihkan reputasi pihak yang terjejas.
“MCW turut menggesa pihak berkuasa memberikan perkembangan rasmi mengenai laporan polis terdahulu serta memastikan hasil siasatan yang dijanjikan dalam tempoh tiga bulan benar-benar menjawab persoalan rakyat.
“Keadilan bukan sekadar memastikan pihak yang bersalah dikenakan tindakan, tetapi juga memastikan mereka yang tidak bersalah tidak terus dihukum melalui tuduhan dan persepsi,” katanya.