awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Pembekal utama bot bagi ribuan penyeberangan Selat Inggeris dipenjarakan
Bangladesh gesa ICC ambil serius kebimbangan keselamatan Piala Dunia T20
Pentadbiran Trump tarik diri daripada puluhan organisasi antarabangsa
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Penutupan berterusan pintu sempadan Rafah burukkan krisis kemanusiaan di Gaza

Bernama
Bernama
06/01/2026
22:40 MYT
Penutupan berterusan pintu sempadan Rafah burukkan krisis kemanusiaan di Gaza
Penutupan berterusan pintu sempadan Rafah telah memburukkan lagi situasi kemanusiaan di Gaza, menyebabkan penduduk terperangkap selain menafikan akses penting mereka kepada rawatan perubatan, pendidikan dan bekalan keperluan. - Gambar fail Reuters
GAZA: Penutupan berterusan pintu sempadan Rafah telah memburukkan lagi situasi kemanusiaan di Gaza, menyebabkan penduduk terperangkap selain menafikan akses penting mereka kepada rawatan perubatan, pendidikan dan bekalan keperluan, menurut penduduk dan penganalisis di enklaf itu, lapor Xinhua.
Bagi pesakit yang memerlukan rawatan segera di luar negara, penutupan itu mengancam nyawa mereka.
"Saya dijadualkan untuk melakukan perjalanan lebih setahun lalu bagi mendapatkan rawatan, tetapi kelewatan akibat penutupan ini membahayakan kesihatan saya," kata Ibrahim Al-Hams, 45, dari Khan Younis.
"Ubat-ubatan berkurangan dan tidak sentiasa tersedia di Gaza, dan Rafah adalah satu-satunya akses saya," kata Al-Hams.
Menurut pihak berkuasa kesihatan yang berpangkalan di Gaza, sekurang-kurangnya 1,200 pesakit memerlukan rawatan di luar Gaza setiap bulan.
Pelajar juga menghadapi masa depan yang terganggu.
"Saya telah menyelesaikan semua dokumen ... tetapi saya tidak dapat melakukan perjalanan. Dua tahun kehidupan akademik saya telah hilang, semata-mata kerana saya penduduk Gaza," kata Lujain Shaqoura, 20, yang diterima masuk ke jurusan perubatan pada 2024 di Universiti Zagazig, Mesir.
"Mendapatkan biasiswa memerlukan usaha yang besar. Sekatan perjalanan kini mengancam peluang saya untuk meneruskan pendidikan," kata Asil Al-Sawafiri, 20, yang menerima biasiswa daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.
"Impaknya tidak terhad kepada pelajar, ibu bapa hidup dalam ketegangan berterusan mengenai masa depan anak-anak mereka," tambahnya.
"Penutupan Rafah mencerminkan kepungan yang berterusan ke atas Gaza. Orang awam terus menghadapi kebimbangan serta ketidakpastian dan hak asasi mereka kekal dalam risiko," kata penduduk Bandaraya Gaza, Abu Muhammad al-Sawi.
Pintu sempadan Rafah, laluan utama antara Mesir dan Gaza, sebahagian besarnya ditutup sejak Mei 2024 apabila tentera Israel merampas kawalan di bahagian Palestin di sempadan tersebut.
Sebelum itu, ia merupakan laluan keluar utama bagi rakyat Palestin dan pintu masuk utama bagi bantuan kemanusiaan.
Israel sebelum ini menyatakan ia akan membuka sempadan itu di kedua-dua arah sebaik sahaja Hamas memulangkan semua tahanan.
Pada awal Disember tahun lepas, Israel mengumumkan ia akan membuka semula sempadan itu dalam masa beberapa hari di bawah perjanjian gencatan senjata Oktober dengan Hamas, namun menyatakan ia hanya akan beroperasi sehala, membenarkan rakyat Palestin meninggalkan Gaza tetapi tidak dibenarkan kembali.
Beberapa hari kemudian, beberapa negara Arab dan Islam mengeluarkan kenyataan bersama yang menentang rancangan pembukaan semula secara sehala oleh Israel itu.
Sementara itu, Hamas mengecam penutupan berterusan pintu sempadan itu oleh Israel, sambil menambah bahawa usaha membawa keluar mayat tebusan menghadapi rintangan logistik dan operasi.
"Kerajaan Israel enggan memulakan fasa kedua perjanjian dan menggunakan penutupan sempadan ini untuk menekan rakyat Palestin dengan mengeksploitasi kerentanan kemanusiaan penduduk," kata penganalisis politik Palestin, Ahed Ferwana.
Pertubuhan kemanusiaan telah menekankan pergantungan hampir sepenuhnya Gaza terhadap pintu sempadan untuk barangan keperluan.
"Pintu sempadan Rafah kekal sebagai titik kritikal dalam akses Gaza ke dunia luar. Penutupannya yang berterusan menekankan cabaran kemanusiaan dan politik berterusan yang dihadapi oleh penduduk awam," kata penganalisis politik berpangkalan di Ramallah, Esmat Mansour.
"Tanpa garis masa yang jelas untuk pembukaan semula, penduduk kekal dalam keadaan tidak menentu, bergantung kepada bantuan terhad dan sumber tempatan untuk memenuhi keperluan asas," katanya.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini
Topic Berkaitan
#konflik Gaza
#pintu sempadan Rafah
#krisis kemanusiaan
#israel serang gaza
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan