Pasukan penyelamat Thailand telah menemui 12 remaja dan seorang penolong jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap di dalam sebuah gua.

Kesemua mereka menunjukkan ‘tanda-tanda masih bernyawa’ selepas sembilan hari dilaporkan hilang di wilayah Chiang Rai.

Perkara itu dimaklumkan gabenor wilayah itu, Narongsak Osottanakorn kepada wartawan pada lewat Isnin malam.

Selain pasukan tempatan, usaha mencari dan menyelamat itu turut disertai pasukan antarabangsa yang tertumpu di gua Tham Luang.

Antara yang terperangkap sejak adalah 12 remaja lelaki berusia 11 hingga 16 tahun dan jurulatih mereka yang berusia 25 tahun.


Kesemua mereka dipercayai terperangkap dalam gua yang terletak di hutan Tham Luang-Khun Nam Nang Noon akibat peningkatan jumlah air dalam gua susulan hujan lebat yang melanda wilayah tersebut.