Skip to main content

Dunia

Penyelidik bangunkan sistem navigasi AI berasaskan kawah untuk misi Bulan

This undated photo provided by NASA shows a view from orbit looking at the surface of the moon. (Ernie T. Wright/NASA via AP, File)
Penyelidik di Australia membangunkan sistem navigasi kecerdasan buatan (AI) berasaskan kawah bagi membantu kapal angkasa menentukan kedudukannya ketika menjalankan misi pemetaan Bulan jangka panjang. - Foto fail/AP
Advertisement

CANBERRA: Penyelidik di Australia membangunkan sistem navigasi kecerdasan buatan (AI) berasaskan kawah bagi membantu kapal angkasa menentukan kedudukannya ketika menjalankan misi pemetaan Bulan jangka panjang, lapor Xinhua.

Penyelidik dari Institut Pembelajaran Mesin Australia (AIML), Universiti Adelaide dan Pusat Sumber Angkasa Andy Thomas membangunkan STELLA (Spacecraft craTer-basEd Localisation for Lunar mApping), yang membawa teknologi navigasi berasaskan mercu tanda ke Bulan, menurut kenyataan universiti yang dikeluarkan pada Rabu.

"Sistem kami membantu kapal angkasa mengesan kawah yang dilihat menerusi kameranya, memadankannya dengan kawah pada peta Bulan dan menggunakan maklumat itu untuk menentukan kedudukannya," kata Chee-Kheng Chng dari AIML, penulis utama bersama kajian yang diterbitkan dalam jurnal Astrodynamics.

Penyelidik menguji sistem itu menggunakan set data sintetik yang komprehensif dan realistik merangkumi lebih 15,000 imej yang mensimulasikan orbit Bulan selama setahun dalam pelbagai keadaan, termasuk pencahayaan yang mencabar dan sudut pandangan berbeza.

Menurut penyelidik, STELLA secara konsisten mencapai ketepatan kedudukan pada skala meter dan ketepatan orientasi kurang daripada satu darjah dalam kebanyakan senario, sambil menambah sistem itu boleh menjadi asas bagi pembangunan selanjutnya penyelesaian navigasi berasaskan penglihatan untuk misi orbit jangka panjang. 

"Oleh kerana menghantar manusia ke angkasa lepas bukan sesuatu yang mudah atau murah, perlu ada cara untuk mendapatkan maklumat sebelum ke sana dan di sinilah AI memainkan peranan," kata penulis utama bersama kajian itu Sofia McLeod dari AIML.

McLeod berkata dengan minat global terhadap penerokaan Bulan semakin meningkat, data lokasi yang tepat akan menjadi semakin penting, khususnya bagi misi mencari sumber seperti air di Bulan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement