Skip to main content

Dunia

Perancis perketat kawalan sempadan susulan kemasukan migran ke Ceuta

Migrants cross from Morocco into the Spanish enclave of Ceuta, Thursday, July 30, 2026. (AP Photo/Antonio Sempere)
Perancis turut berunding dengan pihak berkuasa Sepanyol dan Maghribi mengenai situasi itu. - Gambar/ AP
Advertisement

PARIS: Perancis memperketat kawalan di sempadan dengan Sepanyol susulan kemasukan beramai-ramai migran ke Ceuta, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Istana Élysée di Paris pada Jumaat memaklumkan bahawa Presiden Emmanuel Macron mengarahkan Menteri Dalam Negeri mempertingkat pemeriksaan di sempadan Sepanyol susulan perkembangan di Ceuta.

Perancis turut berunding dengan pihak berkuasa Sepanyol dan Maghribi mengenai situasi itu.

Macron menerusi platform media sosial X berkata beliau menawarkan segala bantuan yang diperlukan kepada Perdana Menteri Sepanyol serta menyatakan solidariti terhadap negara berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Perancis Laurent Nuñez berkata beliau telah mengarahkan kawalan di sempadan Sepanyol dipertingkat serta-merta sejak petang Khamis.

Selain itu, pasukan tindak balas pantas agensi kawalan sempadan akan dikerahkan bagi menjalankan pemeriksaan di kawasan selepas sempadan.

Unit yang sebelum ini ditempatkan di sempadan Itali bagi menangani isu migrasi itu terdiri daripada anggota polis, "gendarmerie" (pasukan polis tentera) dan kastam serta tentera daripada unit antikeganasan Sentinelle.

Menurut Nuñez, seramai 334 anggota polis dan "gendarmerie" akan dikerahkan mulai Sabtu.

Tiga pesawat serta dron turut digunakan bagi menjalankan pemantauan udara, manakala rondaan di dalam kereta api yang melalui laluan Perancis-Sepanyol akan dipertingkat.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement