THE HAGUE: Hari kedua perbicaraan tentang jenayah kemanusiaan Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di Belanda, menyaksikan rejim Zionis itu cuba mempertahankan tindakannya menyerang Gaza, atas alasan mempertahan diri dan menyerang balas selepas diserang pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023.

Pasukan pembelaan Israel, yang diketuai penasihat kepada Kementerian Luar Israel, Tal Becker, mendakwa kes yang dibawa Afrika Selatan, kononnya Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid, adalah tidak berasas sama sekali.



Pemerhati yang mengikuti perbicaraan itu berpandangan, Israel pada permulaan pembelaan telah bermula dengan lemah, tetapi telah membangkitkan dua perkara penting, bagi membatalkan pendakwaan itu.

Pasukan pembelaan Israel berkata, mahkamah perlu membuktikan bahawa rejim Zionis pimpinan Benjamin Netanyahu itu sememangnya mempunyai ‘niat untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai’, bagi memenuhi kriteria di bawah Konvensyen Genosid 1948, seperti yang terjadi dalam peristiwa Holocaust.

Selain itu, mereka mendakwa tiada prima facie terhadap dakwaan Afrika Selatan, kerana negara itu tidak mengambil langkah yang sepatutnya untuk menyelesaikan pertelingkahan atau perselisihan faham dengan Israel.

Untuk rekod, Afrika Selatan membawa perkara itu ke ICJ, dan menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza, bertujuan bagi memberi peluang kepada mahkamah untuk "bertindak dalam masa nyata" untuk menghalang apa yang disifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai "berterusan di Gaza."

Tembeka Ngcukaitobi, seorang peguam untuk Mahkamah Tinggi Afrika Selatan, memberitahu ICJ, "niat pembunuhan beramai-ramai" Israel adalah jelas daripada “cara serangan tentera ini dijalankan."

“Niat untuk memusnahkan Gaza telah dipupuk di peringkat tertinggi negara. Setiap hari kita melihat peningkatan jumlah nyawa rakyat Palestin yang hilang, kemusnahan harta benda, kehilangan maruah dan kemanusiaan.

"Tiada apa-apa yang akan menghentikan segala penderitaan yang dilalui rakyat Palestin, kecuali perintah daripada mahkamah ini," kata Adila Hassim, peguam yang juga mewakili Afrika Selatan kepada mahkamah.

Dalam hujah yang dikemukakan sebelum perbicaraan, Afrika Selatan berkata, tindakan Israel itu "bertujuan untuk membawa kemusnahan sebahagian besar kumpulan kebangsaan, kaum dan etnik Palestin".

Bagaimanapun, semasa bercakap di mahkamah pada Khamis, Menteri Kehakiman Afrika Selatan, Ronald Lamola menegaskan, tiada serangan yang "boleh memberikan justifikasi atau mempertahankan pelanggaran Konvensyen [Genosid] PBB."

Susulan perbicaraan tersebut, banyak negara, termasuk Malaysia menyambut baik tindakan Afrika Selatan, yang rata-rata mendesak Israel menghormati undang-undang antarabangsa dan menamatkan kekejamannya terhadap rakyat Palestin serta-merta.

Ketika ini, lebih 23,000 rakyat Palestin telah dibunuh dalam serangan bertali arus oleh Israel, dengan sebahagian besarnya melibatkan wanita dan kanak-kanak.

Perbicaraan berlangsung di hadapan 15 hakim yang datang dari pelbagai negara, diketuai Presiden ICJ, Joan Donoghue, dan mereka turut disertai dua lagi hakim masing-masing dari Afrika Selatan dan Isreal, iaitu Dikgang Moseneke dan Aharon Barak.