Ringkasan AI
- Kajian baharu mendapati lebih 107,000 spesies hidupan liar didagangkan di seluruh dunia, lebih dua kali ganda anggaran sebelum ini.
- Penyelidik memberi amaran bahawa data pemantauan global masih tidak lengkap, menyebabkan skala sebenar perdagangan mungkin jauh lebih besar.
- Sasaran perdagangan biodiversiti global hanya meliputi dua hingga tiga peratus spesies, menyebabkan 97 peratus spesies tidak dipantau secara menyeluruh.
MELBOURNE: Lebih 107,000 spesies hidupan liar dipergunakan dan didagangkan di seluruh dunia iaitu lebih dua kali ganda angka anggaran sebelum ini, menurut satu kajian baharu, lapor Xinhua.
Kajian itu turut memberikan amaran bahwa skala sebenar mungkin jauh lebih besar susulan jurang besar dalam data pemantauan global.
Diterbitkan dalam Science Advances dan diketuai Universiti Melbourne Australia, kajian itu mengenal pasti 107,356 spesies yang didagangkan meliputi tumbuh-tumbuhan, haiwan dan kulat, berbanding anggaran sebelum ini iaitu kira-kira 50,000 spesies, dalam perdagangan di seluruh dunia, menurut kenyataan universiti itu pada Sabtu.
Perdagangan hidupan liar ialah pemacu kuat kehilangan biodiversiti namun maklumat mengenai tahap dan kemampanannya kekal tidak lengkap dan berpecah-pecah, kata ketua penyelidik Profesor Alice Hughes dari Sekolah BioSains universiti itu.
Perdagangan hidupan liar melangkaui perdagangan haram gajah, harimau dan tenggiling, merangkumi kayu, makanan laut, tumbuhan ubatan, haiwan peliharaan, potongan bunga, ikan hiasan dan kulat, yang kebanyakannya adalah sah, kata Hughes.
"Bagi kebanyakan spesies ini, kami mempunyai sedikit atau tiada data. Tiada data mengenai kuantiti dan asal usul, apatah lagi data peringkat populasi untuk menilai sama ada perdagangan menimbulkan risiko terhadap kemandirian spesies," katanya.
Beliau menambah sasaran perdagangan sedia ada rangka kerja biodiversiti global hanya meliputi kira-kira dua hingga tiga peratus spesies dalam perdagangan iatu kehilangan baki 97 peratus.
Para penyelidik menyeru pengumpulan data yang seragam dan pelaporan yang lebih komprehensif, telus dan diselaraskan secara global, menekankan bahawa proses pemeriksaan kastam dan kesihatan sedia ada boleh disesuaikan untuk meningkatkan pemantauan perdagangan hidupan liar.
-- BERNAMA-XINHUA