Ringkasan AI
- Kerajaan memperuntukkan geran tambahan sekitar RM200 juta untuk memperkasakan usahawan kecil, khususnya golongan berpendapatan rendah di seluruh negara.
- Fokus diberikan kepada usahawan wanita di Kelantan melalui inisiatif keusahawanan, dengan rekod pembayaran balik pinjaman hampir 99 peratus oleh wanita AIM.
- Perdana Menteri menekankan kepentingan penguasaan teknologi baharu seperti AI dan digital dalam pendidikan, tanpa mengabaikan nilai agama dan budaya.
KOTA BHARU: Kerajaan menyediakan geran tambahan kira-kira RM200 juta bagi memperkasakan keupayaan usahawan kecil, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Kewangan itu berkata bantuan berskala kecil mampu memberi pulangan bermakna kepada peniaga sekiranya disalurkan mengikut keperluan sebenar perniagaan masing-masing.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada peniaga yang hanya memerlukan modal antara RM1,800 hingga RM5,000 untuk mendapatkan kelengkapan asas seperti peti sejuk yang dapat membantu menyelamatkan stok jualan.
“Walaupun peruntukan itu kecil tetapi manfaat itu langsung sampai,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan khusus kepada golongan wanita di Kelantan menerusi inisiatif keusahawanan bagi membuka ruang lebih luas untuk mereka mengembangkan perniagaan.
Beliau berkata langkah itu mengambil kira penglibatan besar kaum hawa dalam sektor perniagaan kecil di negeri berkenaan termasuk dalam kalangan penerima bantuan usahawan B40.
Anwar berkata wanita Kelantan mempunyai rekod dan pengalaman yang baik dalam bidang perniagaan khususnya menerusi aktiviti jualan di pasar yang memperlihatkan kegigihan mereka menjana pendapatan.
“Sebab itu, saya beritahu Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk Negeri Kelantan ini, program bantuan kita biar kita beri tumpuan yang lebih kepada wanita,” katanya.
Beliau juga berkata keupayaan wanita menguruskan perniagaan turut terbukti menerusi rekod Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang mencatatkan prestasi bayaran balik pinjaman amat cemerlang, iaitu hampir 99 peratus.
Menyentuh mengenai Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan, Anwar berkata skim berkenaan menerima lebih 4,000 permohonan daripada usahawan B40 dan 446 daripadanya telah diluluskan setakat ini.
"Skim itu memberi tumpuan kepada golongan usahawan kecil yang memerlukan sokongan kewangan bagi mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengulangi gesaan agar Malaysia memperkukuh penguasaan bidang teknologi baharu merangkumi kecerdasan buatan (AI), digital dan teknologi kuantum tanpa mengabaikan nilai agama, budaya serta jati diri.
Beliau berkata langkah bergerak seiring dengan kepesatan teknologi global amat penting bagi memastikan generasi muda berdaya saing dan tidak ketinggalan berbanding negara maju.
Sehubungan dengan itu, Anwar berkata penerapan ilmu dan teknologi terkini wajar diperluas dalam sistem pendidikan negara termasuk mendedahkan murid kepada asas pembelajaran AI seawal peringkat sekolah.
Beliau berkata pendekatan pembangunan negara perlu berteraskan konsep “menggapai di langit dan mengakar di bumi”, iaitu mengejar kemajuan ilmu serta teknologi sambil mempertahankan nilai dan identiti masyarakat.
“Negara ini mesti maju… mesti menguasai teknologi baharu, teknologi maklumat dan kecerdasan buatan tetapi negara ini mesti berakar kepada tradisi, budaya yang berteraskan kepada iman dan akhlak serta sahsiah kita,” katanya.
-- BERNAMA