LOS ANGELES: Gabenor California Gavin Newsom mengumumkan pada Jumaat, beliau telah menandatangani perintah eksekutif mewujudkan pasukan penyelarasan negeri untuk menyelaras persiapan Sukan Olimpik dan Paralimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.
Gabenor melantik Jamie Callahan, timbalan ketua kakitangannya dan kaunselor kanan mengenai infrastruktur, untuk berkhidmat sebagai pengarah eksekutif pasukan khas (strike team) penyampaian dan penyelarasan sukan berkenaan.
Pasukan tersebut akan menghimpukan puluhan agensi dan jabatan untuk mengukuhkan perancangan dan kesediaan seluruh negeri menjelang temasya itu, menurut pejabat gabenor dalam kenyataan.
Pasukan itu juga akan menyokong usaha serantau untuk mengembangkan tenaga kerja dan peluang ekonomi, tambahnya.
"California tahu bagaimana untuk memberikan yang terbaik di pentas dunia," kata Newsom. "Dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik bakal dianjurkan di Los Angeles pada 2028, kita memastikan negeri kita bersedia untuk menyahut cabaran itu.”
Sukan tersebut diunjurkan menelan belanja US$7.2 bilion, lapor Los Angeles Times, sambil menambah bahawa bandar itu bertanggungjawab untuk menaik taraf infrastruktur pengangkutannya bagi menampung kehadiran pengunjung.
Menurut pejabat gabenor, California telah pun mengambil langkah bagi membantu Los Angeles dalam persediaan menjadi tuan rumah dunia, termasuk pelaburan infrastruktur bagi mengukuhkan rangkaian pengangkutan di rantau ini dan memodenkan tempat-tempat utama.
Pegawai negeri menyifatkan projek berkenaan sebagai pelaburan yang bertujuan untuk terus memberikan manfaat kepada penduduk selepas pertandingan berakhir, bukan hanya untuk menampung pengunjung semasa temasya itu.
Perancangan keselamatan juga melibatkan pelbagai peringkat kerajaan. Pejabat Perkhidmatan Kecemasan California akan membantu menyelaraskan bantuan polis dari seluruh California dan barat AS, manakala Perkhidmatan Rahsia AS mempunyai kuasa keselamatan muktamad, lapor Los Angeles Times.
Pengumuman itu mengikut undang-undang yang ditandatangani Newsom pada September untuk mengukuhkan penyelarasan keselamatan awam dan menangani keperluan operasi termasya tersebut.
Sukan Olimpik Los Angeles dijadualkan pada 14-30 Julai 2028, diikuti Paralimpik pada 15-27 Ogos, menurut laman web rasmi Olimpik.
Los Angeles sebelum ini menjadi tuan rumah Sukan Olimpik sebanyak dua kali iaitu pada 1932 dan 1984.
-- BERNAMA-XINHUA