DUNIA
Perebutan harta pusaka jutawan dedah kekusutan peralihan kuasa keluarga korporat India

Mendiang Sunjay Kapur yang juga jutawan automotif India menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada usia 53 tahun, pada 12 Jun lalu. - Gambar Reuters
NEW DELHI: Kematian mengejut seorang jutawan automotif India pada Jun lalu mencetuskan perebutan harta dan kuasa dalam salah sebuah syarikat komponen kenderaan terbesar negara itu, Sona Comstar.
Sunjay Kapur, 53, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 12 Jun lalu ketika bermain polo di Surrey, United Kingdom.
Beliau merupakan pewaris empayar perniagaan bernilai AS$3.6 bilion (RM15.26 bilion) yang dibina oleh bapanya, dengan operasi di India, China, Mexico dan Amerika Syarikat.
Kematian beliau kini menjadi tumpuan media susulan dakwaan pertikaian pewarisan di antara ahli keluarga, khususnya ibunya, Rani Kapur - bekas Pengerusi Sona Comstar.Dalam surat kepada lembaga pengarah bertarikh 24 Julai, Rani mempersoalkan punca kematian anaknya yang didakwa “mencurigakan” serta pelantikan yang dibuat syarikat selepas itu.
Beliau turut mendakwa dipaksa menandatangani dokumen penting ketika berada dalam tekanan emosi.
Rani meminta mesyuarat agung tahunan syarikat ditangguhkan bagi membolehkan pelantikan pengarah baharu mewakili keluarga, namun lembaga tetap mengadakan mesyuarat keesokan harinya dan melantik balu Sunjay, Priya Sachdev, sebagai Pengarah Bukan Eksekutif.
Rani mendakwa, wasiat suaminya pada 2015 menamakan beliau sebagai pewaris tunggal termasuk pegangan majoriti dalam Kumpulan Sona.
Bagaimanapun, syarikat menafikan dakwaan itu dan menegaskan beliau tidak lagi mempunyai peranan dalam syarikat sejak 2019.
Sona Comstar, yang disenaraikan di Bursa India sebagai Sona BLW, dimiliki 71.98 peratus oleh pemegang saham awam termasuk bank dan dana institusi, manakala baki 28.02 peratus dipegang pihak pengasas melalui Aureus Investments Pvt Ltd.
Pakar undang-undang korporat India menjelaskan, status Rani sebagai pemegang saham berdaftar tidak dapat dipastikan selagi dokumen perjanjian amanah keluarga tidak didedahkan.
Kes ini menambah kepada senarai panjang pertikaian perebutan kuasa dalam syarikat keluarga di India.
Kajian PwC mendapati, 90 peratus syarikat tersenarai dikawal keluarga, namun hanya 63 peratus mempunyai pelan peralihan kuasa yang formal.
Beberapa kes berprofil tinggi termasuk pertikaian antara Mukesh Ambani dan adiknya selepas kematian pengasas Reliance Group tanpa wasiat pada 2002, selain konflik dalam Raymond Group serta syarikat hartanah Lodha.
Pakar mengingatkan ketiadaan pelan pewarisan yang jelas boleh menjejaskan nilai pasaran dan prestasi jangka panjang syarikat.
Sebaliknya, contoh seperti Bajaj Group dan Godrej Group menunjukkan bahawa perancangan awal serta struktur tadbir urus keluarga mampu mengelak konflik dalaman. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami