KUALA LUMPUR: Keadaan di Kazakhstan kini stabil selepas berlaku pergolakan besar minggu lalu dan kerajaannya memberi jaminan terhadap keselamatan dan perlindungan pelaburan Malaysia bernilai US$1 bilion di negara Asia Tengah itu.

Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev berkata, kebanyakan pelaburan adalah berkaitan minyak dan gas, sambil menambah bahawa beliau akan menghubungi setiap pelabur Malaysia untuk bertanya tentang kesejahteraan mereka berikutan pergolakan itu.

"Kazakhstan memastikan perlindungan misi diplomatik asing di negara ini, serta syarikat dan pelabur asing.

"Tidak akan ada perubahan pada iklim pelaburan, kami tetap komited dan mengusahakan peningkatan nilai ekonomi pasaran, kedaulatan undang-undang dan perlindungan pelaburan," katanya pada sidang akhbar yang bertujuan memberi maklumat terkini mengenai situasi di Kazakhstan di kedutaan itu di sini, hari ini.

BACA: Rusuhan di Kazakhstan: Lebih 164 maut, 6,000 ditahan pihak berkuasa

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu berkata, kesemua 79 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan Malaysia di Nur Sultan selamat berikutan pergolakan itu. Jumlah itu termasuk diplomat dan tanggungan mereka di Kedutaan, serta di pejabat MATRADE dan Tourism Malaysia di Almaty, pusat perdagangan dan kebudayaan utama Kazakhstan.

Duta itu berkata setakat ini tiada permintaan pemindahan daripada rakyat Malaysia, sambil menambah mereka secara teknikal boleh menaiki penerbangan dari mana-mana lapangan terbang di negara itu dengan lapangan terbang antarabangsa di Almaty, yang dirampas oleh pengganas, dijangka beroperasi untuk penerbangan awam tidak lama lagi.

Pihak berkuasa Kazakhstan berkata pergolakan itu bermula dengan demonstrasi aman pada 2 Jan di Almaty dan 10 wilayah lain yang menentang kenaikan harga runcit gas petroleum cecair baru-baru ini, tetapi kemudian dirampas oleh kumpulan pelampau yang ganas.

Tanpa membuat sebarang tuntutan, tunjuk perasaan yang aman tiba-tiba bertukar ganas dengan penunjuk perasaan mengamuk, membunuh orang awam serta pegawai penguatkuasa undang-undang dan memusnahkan infrastruktur penting seperti kedai senjata api, gedung senjata polis dan tentera, pejabat Datuk Bandar dan studio televisyen.

Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev memulakan operasi memerangi keganasan untuk mempertahankan demokrasi dan perlembagaan negara daripada pengganas dan meminta sokongan pengaman daripada Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO), untuk membantu tentera dan penguatkuasa undang-undang memerangi pengganas.

Presiden itu juga mengumumkan bahawa pasukan pengaman CSTO yang diketuai Rusia akan menyelesaikan misi mereka pada 13 Jan dan meninggalkan Kazakhstan dalam masa 10 hari.

Sugurbayev juga menegaskan bahawa presiden memberikan perintah tembak hingga mati kepada penguat kuasa undang-undang untuk menghentikan keganasan di Almaty dan perintah itu disasarkan kepada pengganas sahaja.

"Kami dengan jelas membezakan penunjuk perasaan aman dengan kumpulan pengganas. Semua penglibatan pertempuran aktif hanya mensasarkan pengganas," katanya sambil menambah bahawa keadaan di Almaty kini telah stabil.

Sementara itu, Tokayev dalam kemas kini di tweeter mengenai situasi di Kazakhstan berkata: "Kami menghadapi tindakan pencerobohan dan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas negara kami, dan mengambil langkah segera untuk memulihkan ketertiban perlembagaan dan kedaulatan undang-undang".

-- BERNAMA