Perjalanan terganggu, Messi terlepas pertemuan susulan kualiti udara Delhi semakin merosot

Gangguan perjalanan, sekatan ke atas aktiviti luar awam, dan peningkatan penyakit pernafasan adalah perkara biasa di Delhi dan kawasan sekitarnya setiap musim sejuk. - Reuters
NEW DELHI: Ketibaan bintang bola sepak Lionel Messi di Delhi, destinasi terakhir jelajah empat bandar raya beliau di India, telah tertangguh pada Isnin apabila ibu negara India itu diliputi jerebu toksik.
Gangguan perjalanan, sekatan ke atas aktiviti luar awam, dan peningkatan penyakit pernafasan adalah perkara biasa di Delhi dan kawasan sekitarnya setiap musim sejuk apabila pencemaran udara, satu krisis berulang, menjadi lebih berbahaya antara Oktober hingga Mac.
Ramai kanak-kanak memilih pembelajaran dalam talian berbanding kehadiran fizikal pada Isnin selepas sekolah di kawasan Delhi diarahkan mengadakan kelas secara hibrid apabila kualiti udara menjadi berkali ganda lebih teruk daripada tahap yang dianggap selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Syarikat penerbangan India melaporkan berpuluh-puluh pembatalan dan penangguhan penerbangan disebabkan jerebu tebal di Delhi pada waktu pagi.
Suruhanjaya Tinggi Singapura di New Delhi sebelum ini mengeluarkan nasihat setelah Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat (CPCB) India melaksanakan satu set langkah lebih ketat bagi menangani keadaan itu.
"Pihak berkuasa Delhi telah menggesa penduduk kekal di dalam rumah, terutamanya kanak-kanak dan mereka yang mengalami penyakit pernafasan atau jantung, dan menggunakan pelitup muka jika keluar. Berkenaan hal ini, Suruhanjaya Tinggi menyeru warganegara Singapura di Kawasan Ibukota Kebangsaan Delhi (NCR) agar mengikuti nasihat ini," menurut kenyataan itu.
Tahap indeks kualiti udara (AQI) di Delhi dilaporkan hampir kepada tahap kecemasan kesihatan 500 pada Isnin.
Bacaan sehingga 50 dikelaskan sebagai "baik". Tahap 201-300 berada dalam kategori "lemah" mengikut klasifikasi agensi pencemaran India dan AQI melebihi 400 dianggap "teruk".
Kawasan kelompok bandar Delhi-NCR mempunyai populasi melebihi keseluruhan Malaysia.
Asap kenderaan, pelepasan industri, pembakaran sisa, dan pembakaran jerami tanaman bermusim oleh petani di negeri-negeri jiran Haryana dan Punjab adalah antara punca utama pencemaran udara.
Apabila suhu menurun pada musim sejuk, tahap PM2.5, iaitu partikel berdiameter 2.5 mikrometer atau kurang yang sangat halus sehingga memasuki paru-paru dan aliran darah, meningkat berkali ganda daripada tahap yang dianggap selamat untuk kesihatan manusia oleh WHO.
Messi, pemain bola sepak Argentina, sepatutnya bertemu Perdana Menteri India Narendra Modi, namun beliau tidak dapat tiba di Delhi tepat pada masanya dari Mumbai.
Modi meninggalkan ibu negara pada Isnin untuk lawatan luar negara selama empat hari.
Sementara itu, dengan acuh tak acuh terhadap udara toksik bandar raya itu, peminat yang teruja berkumpul di sebuah stadium Delhi untuk menyambut legenda bola sepak berkenaan.
--BERNAMA
TAG: pencemaran udara, alam sekitar, Lionel Messi, Delhi, India, perjalanan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


