Skip to main content

Malaysia

Fadillah semakin pulih selepas jalani pembedahan pintasan jantung

PUTRAJAYA, 6 April -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ketika Taklimat Krisis Tenaga Global di Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara hidup hari ini.   --fotoBERNAMA(2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  KUALA LUMPUR, April 6 -- Deputy Prime Minister Datuk Seri Fadillah Yusof speaks to the media after a briefing on the global energy crisis at the Ministry of Domestic Trade and Cost of Living (KPDN) here today.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Dr Mohamed Ezani berkata, pihaknya berpuas hati dengan perkembangan kesihatan Fadillah yang disifatkan mengikut perancangan dan jangkaan pasukan perubatan. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Rabu lalu, menunjukkan perkembangan positif dan terus pulih seperti dijangkakan pasukan perubatan.

IJN memaklumkan pembedahan pintasan berganda itu dilakukan selepas Fadillah menjalani angiogram koronari pada 29 Julai lalu, dengan hasil pemeriksaan dan perbincangan multidisiplin pasukan perubatan mendapati pembedahan berkenaan adalah kaedah rawatan paling sesuai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata, pihaknya berpuas hati dengan perkembangan kesihatan Fadillah yang disifatkan mengikut perancangan dan jangkaan pasukan perubatan.

Katanya, sebagai sebahagian daripada program mobilisasi awal, Fadillah berjaya melakukan senaman berbasikal sejauh 2.8 kilometer pada keesokan harinya di bawah pemantauan pasukan klinikal IJN.

"Rawatan dan proses pemulihan beliau berjalan mengikut perancangan, dan keadaan beliau terus bertambah baik seperti yang dijangkakan pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Menurut Mohamed Ezani, Fadillah kemudian dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa pada hari sama untuk meneruskan proses pemulihan dan rehabilitasi jantung selepas pembedahan pintasan arteri koronari (CABG).

Pembedahan itu dilaksanakan menerusi kaedah Pemulihan Dipertingkatkan Selepas Pembedahan Jantung (ERAS) IJN, iaitu pendekatan multidisiplin yang bertujuan menyokong mobilisasi awal, mengurangkan komplikasi serta membantu pemulihan yang lebih selamat dan pantas.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Fadillah turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan serta memberikan sokongan kepadanya.

Beliau dan keluarga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan perubatan IJN atas komitmen, kepakaran dan layanan profesional sepanjang proses rawatan.

Pembedahan dilakukan Pakar Perunding Kanan Bedah Kardiotorasik IJN, Prof Datuk Sri Dr Mohamed Ezani Md Taib dan Profesor Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub bersama Felo Klinikal Pembedahan Kardiotorasik dan Vaskular, Dr Ahmad Mahir Shamsuddin.

Pasukan anestesia terdiri daripada Pakar Perunding Kanan Anestesiologi, Datuk Dr Suneta Sulaiman; Pakar Perunding Anestesiologi, Dr Norhayati Anuar dan Felo Klinikal Anestesiologi, Dr Wazir Ahmad Haja Sahabudeen.

Must Watch Video

Advertisement