Skip to main content

Malaysia

Malaysia-Kenya teroka potensi perluas kerjasama pertanian

https://www.facebook.com/mohamadsabuofficial/posts/pfbid0WsZdnz6M2bpnW722zHSEoYkGmPhp5hDFGCYqSDndEZEdADdMogRkb8Lk5LDatYY6l?locale=ms_MY
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika pertemuannya dengan Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia Ekitela Moru. - Foto Facebook Mohamad Sabu
Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia dan Kenya meneroka potensi memperluas kerjasama dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk membuka akses pasaran baharu serta mengharmonikan standard produk pertanian kedua-dua negara.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dengan Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia Ekitela Moru di sini semalam.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertemuan julung-julung kali itu turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak membincangkan penyertaan Kenya dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Menurut kementerian itu, perdagangan pertanian antara Malaysia dan Kenya hingga Disember 2025 mencatatkan nilai RM5.38 bilion, melibatkan antaranya minyak sawit, pelbagai produk makanan diproses serta produk kopi, koko dan rempah.

"Kenya pada masa sama mengesahkan penyertaan dalam MAHA 2026 susulan sambutan hangat dan permohonan yang tinggi daripada pelbagai syarikat dari negara itu yang menyatakan minat menyertai ekspo pada tahun ini," menurut kenyataan itu.

Menurut KPKM lagi, Moru turut memaklumkan Menteri Pertanian dan Pembangunan Ternakan Kenya Mutahi Kagwe dijangka menghadiri majlis pembukaan MAHA 2026, selain mencadangkan pertemuan dua hala diadakan sempena lawatan beliau ke Malaysia.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan status kerjasama sedia ada, khususnya usaha meneroka akses pasaran baharu dan pengharmonian standard bagi produk pertanian.

Mohamad mengalu-alukan penyertaan besar Kenya dalam MAHA 2026 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept ini dengan tema "Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan".

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement