Skip to main content

Dunia

Perjanjian diplomatik dengan Iran mungkin sukar dicapai - Rubio

Marco Rubio bercakap kepada media sebelum berlepas ke Paris bagi menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar G7, di Homestead, Florida, 8 Nov 2026. (Foto AP)
Marco Rubio bercakap kepada media sebelum berlepas ke Paris bagi menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar G7, di Homestead, Florida, 8 Nov 2026. (Foto AP)
Advertisement

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio pada Ahad membayangkan bahawa perjanjian diplomatik dengan Iran mungkin tidak dapat dicapai, sambil menuduh Tehran mengemukakan tuntutan yang tidak realistik dan memberi amaran bahawa rundingan masih jauh daripada mencapai kejayaan, lapor Anadolu Ajansi.

"Beberapa negara masih berhubung dengan mereka dan mengemukakan pelbagai cadangan, tetapi saya tidak akan mengatakan bahawa kita hampir mencapai kejayaan dalam rundingan. 

"Presiden sentiasa mengutamakan penyelesaian secara diplomatik bagi isu ini dan setiap masalah lain. Malangnya, ada kalanya perkara itu tidak dapat dilakukan," kata beliau kepada pemberita sebelum berlepas ke Paris bagi menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7).

Advertisement

Rubio berkata Washington masih bersedia meneroka peluang diplomatik, namun menyifatkan rundingan itu sebagai tidak membuahkan hasil dan tuntutan Iran sebagai "melampau dan tidak masuk akal" serta tidak realistik.

Mempertahankan pendekatan Presiden Donald Trump dalam menangani perang dengan Iran yang kini memasuki bulan kesembilan, Rubio berhujah bahawa Trump telah berdepan dengan ancaman berpanjangan terhadap keselamatan negara AS meskipun tindakan itu berpotensi membawa kesan politik.

Advertisement

Beliau berkata usaha menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear perlu kekal sebagai keutamaan yang mendapat sokongan kedua-dua parti politik utama AS.

Kenyataan itu dibuat menjelang mesyuarat Menteri-Menteri Luar G7 di Paris pada Isnin dan Selasa, dengan konflik Iran dijangka menjadi antara isu yang dibincangkan.

AS dan Israel melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran pada 28 Feb. 

Gencatan senjata dicapai pada April, disusuli memorandum pada Jun yang bertujuan mencapai perjanjian damai, namun rundingan setakat ini gagal menghasilkan penyelesaian muktamad.

Kenyataan Rubio itu menyusuli serangan terhad AS ke atas Pulau Qeshm milik Iran di Selat Hormuz sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan Trump pada Jumaat mengesahkan bahawa tentera AS menyasarkan sistem pertahanan udara Iran.

Mengenai keadaan yang boleh mendorong Washington melancarkan serangan ketenteraan selanjutnya, Rubio menegaskan bahawa tindakan AS bersifat mempertahankan diri dan bergantung kepada ancaman terhadap tenteranya atau lalu lintas maritim.

"AS bertindak untuk mempertahankan diri. Jika terdapat ancaman terhadap tentera kami di rantau ini, kami akan bertindak menanganinya. 

"Jika terdapat ancaman terhadap perkapalan, kami telah sekian lama mempertahankan keselamatannya. 

"Jadi, jika terdapat ancaman yang jelas dan serta-merta terhadap perkapalan atau tentera kami di rantau ini, kami mempunyai hak untuk mempertahankan diri," katanya.

Rubio berkata sebarang tindakan sedemikian bergantung kepada tahap ancaman dan sama ada tentera Iran sedang melancarkan serangan atau berkemungkinan sedang bersiap sedia untuk menyerang kepentingan AS.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement