Skip to main content

Dunia

Perlombongan ancam lebih 12,000 spesies di seluruh dunia - Kajian

81490145606_Sandmining.jpg
Pasukan penyelidik mendapati 28 peratus habitat spesies terancam bertindih dengan kawasan perlombongan, manakala lebih 100 spesies mempunyai sekurang-kurangnya 75 peratus habitat yang bertindih dengan tapak perlombongan. - Gambar hiasan
Advertisement

CANBERRA: Saintis mendapati aktiviti perlombongan mengancam lebih 12,000 spesies di seluruh dunia, termasuk hampir 6,000 spesies yang telah diklasifikasikan sebagai "terancam", lapor Xinhua.

Penyelidik dari Australia dan Britain menggabungkan peta global aktiviti perlombongan dengan data spesies terancam bagi mengkaji sejauh mana risiko perlombongan terhadap biodiversiti, menurut ringkasan kajian yang disiarkan di laman web Australian Science Media Centre pada Jumaat.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Cell Reports Sustainability itu menunjukkan aktiviti perlombongan berlaku di kawasan yang mempunyai biodiversiti amat tinggi, termasuk wilayah yang kaya dengan spesies terancam. Tekanan terhadap biodiversiti dijangka meningkat apabila lebih banyak projek perlombongan mineral kritikal dibangunkan.

Pasukan penyelidik yang diketuai Universiti Charles Sturt di Australia mendapati 28 peratus habitat spesies terancam bertindih dengan kawasan perlombongan, manakala lebih 100 spesies mempunyai sekurang-kurangnya 75 peratus habitat yang bertindih dengan tapak perlombongan, meskipun perlombongan tidak diiktiraf sebagai ancaman oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Penulis kajian itu memberi amaran bahawa projek perlombongan yang dirancang pada masa depan boleh mendedahkan lebih 3,000 spesies terancam kepada risiko berkaitan perlombongan, dengan 83 peratus daripada spesies berkenaan ketika ini tidak diklasifikasikan oleh IUCN sebagai terancam akibat perlombongan.

Mereka berkata dapatan itu menekankan keperluan mendesak untuk penilaian yang lebih menyeluruh terhadap kesan perlombongan dalam perancangan pemuliharaan di seluruh dunia.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement