Permintaan gas di Iran meningkat ke tahap rekod tertinggi

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Penggunaan gas di Iran melonjak ke paras rekod 726 juta meter padu susulan cuaca sejuk melampau yang melanda sebahagian besar negara itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian rangkaian gas nasional.
Ketua Syarikat Gas Nasional Iran (NIGC), Saeed Tavakoli berkata, tahap penggunaan itu adalah "unik dan sebenarnya tidak rasional", sambil memberi amaran bahawa permintaan tinggi yang berterusan boleh menjejaskan rangkaian pengagihan negara semasa musim sejuk, lapor Tehran Times.
"Daripada 875 juta meter padu gas yang disalurkan ke dalam rangkaian gas negara, kira-kira 83 peratus digunakan oleh sektor kediaman dan komersial, menunjukkan bahagian yang tinggi bagi segmen ini semasa keadaan cuaca sejuk," katanya.
Tavakoli berkata, angka itu mengatasi kemuncak penggunaan tahun lepas iaitu sekitar 703 juta meter padu, dan menyifatkan peningkatan mendadak itu berpunca daripada cuaca sejuk yang ekstrem serta meluas di wilayah utara dan timur laut.
Sementara itu, Ketua Syarikat Penghantaran Gas Iran (IGTC), Peyman Khazraei berkata, syarikat itu telah mempertingkatkan persiapan musim sejuk bagi memastikan bekalan yang selamat dan stabil semasa tempoh permintaan puncak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


