KUALA LUMPUR: Jumlah permintaan kargo udara global, yang diukur berdasarkan tan kargo bagi setiap kilometer kargo, meningkat sebanyak 8.5 peratus pada Jun 2026, berbanding angka pada Jun 2025, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Operasi antarabangsa menyaksikan peningkatan sebanyak 9.6 peratus.
Kapasiti, yang diukur mengikut tan kargo bagi setiap kilometer yang tersedia, meningkat sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun, dengan kapasiti antarabangsa meningkat 4.9 peratus.
Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata, permintaan kargo udara meningkat 8.5 peratus tahun ke tahun pada Jun, dengan Amerika Utara menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan manakala permintaan di semua rantau adalah positif berbanding tahun lepas.
"Pertumbuhan permintaan mengatasi kapasiti pada peringkat global dan di semua rantau kecuali Amerika Latin dan Caribbean. Permintaan juga meningkat lebih pantas berbanding perdagangan global, disokong oleh produk teknologi bernilai tinggi dan penghantaran segera.
"Walaupun semua ini menjadi faktor kukuh terhadap keyakinan bagi separuh kedua 2026 namun, risiko masih ada - antaranya ketegangan berterusan di Asia Barat dan tumpuan baharu terhadap tarif oleh Amerika Syarikat," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, IATA menjelaskan, syarikat penerbangan Asia-Pasifik mencatat peningkatan permintaan kargo udara sebanyak 7.9 peratus tahun ke tahun manakala kapasiti meningkat sebanyak 4.3 peratus.
Kalangan syarikat penerbangan Amerika Utara pula mencatat permintaan kargo udara yang lebih tinggi iaitu 13.1 peratus tahun ke tahun, dengan kapasiti meningkat sebanyak 6.2 peratus.
Syarikat penerbangan Eropah merekodkan peningkatan 6.9 peratus dalam permintaan kargo udara di samping peningkatan kapasiti sebanyak 3.7 peratus tahun ke tahun.
"Syarikat penerbangan Asia Barat menyaksikan pertambahan permintaan kargo udara sebanyak 5.6 peratus tahun ke tahun pada Jun dan kapasiti naik sebanyak 2.5 peratus tahun ke tahun.
"Prestasi bulan tersebut merekodkan pertumbuhan, dan cenderung kepada positif apabila dibandingkan dengan prestasi Jun 2025, yang amat lemah bagi syarikat penerbangan di Asia Barat akibat gangguan susulan konflik ketenteraan," tambahnya.
Syarikat penerbangan Amerika Latin dan Caribbean mencatat pertumbuhan permintaan kargo udara paling lemah berbanding di semua rantau, dengan permintaan meningkat 3.5 peratus tahun ke tahun dan kapasiti menokok 9.8 peratus.
Syarikat penerbangan Afrika mencatat kenaikan permintaan sebanyak 4.7 peratus walaupun terdapat penurunan kapasiti sebanyak 7.1 peratus tahun ke tahun.
Menurut IATA, perdagangan global meningkat sebanyak 5.2 peratus tahun ke tahun manakala harga bahan api jet susut sebanyak 20 peratus bulan ke bulan pada Jun namun kekal 45.8 peratus melebihi paras pada tahun sebelumnya.
Aktiviti pembuatan global turun sedikit pada Jun, namun, kekal bersifat menyokong sementara pesanan eksport turut suram, jelasnya.
IATA memaklumkan, Indeks Pengurus Pembelian Output Pembuatan Global turun 0.5 mata kepada 53.
Indeks Pesanan Eksport Baharu kekal di bawah paras 50 iaitu pada 49.4 bagi bulan keempat berturut-turut, yang menunjukkan pertumbuhan kargo udara didorong oleh aliran perdagangan khusus dan bukannya peningkatan meluas eksport global.
-- BERNAMA