Skip to main content

Dunia

Pernah didakwa di Malaysia, pasangan Rusia ditahan pula di New York ceroboh Empire State

angela_nikolau
Kedua-dua mereka menceroboh Empire State bagi melakukan aksi lamaran perkahwinan ekstrem. - Gambar/ IG angela_nikolau
Advertisement

PASANGAN pendaki ekstrem dari Rusia, Angela Nikolau dan Vanya Beerkus, sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat selepas menceroboh bangunan ikonik Empire State Building di New York.

Kedua-dua mereka bertindak demikian bagi melakukan aksi lamaran perkahwinan, baru-baru ini.

Dalam rakaman video tular, kedua-duanya dilihat memanjat bahagian antena bangunan setinggi 443 meter itu sebelum mengibarkan sepanduk bertulis “When the power of love beats the love of power, the world knows peace”. 

Beerkus kemudiannya dilaporkan melamar Nikolau di lokasi berkenaan sebelum mereka ditahan polis sejurus selesai turun dari struktur bangunan tersebut. 

BACA: Ceroboh Menara Merdeka 118: 'Jangan bazir bajet negara cari kami' - Pasangan Rusia

BACA: Ceroboh Menara Merdeka 118: 'YouTuber' sudah ditahan, didakwa Mei 2022 

Menurut polis New York, pasangan itu berdepan pelbagai pertuduhan termasuk pecah masuk, pencerobohan jenayah, perbuatan membahayakan keselamatan awam, khianat dan memiliki peralatan yang dipercayai digunakan untuk menceroboh kawasan larangan. 

Siasatan awal mendapati mereka dipercayai memasuki bahagian menara melalui laluan penyelenggaraan yang berkunci.

Pengurusan Empire State Building menyifatkan tindakan pasangan itu sebagai satu insiden tidak dibenarkan. 

Nikolau, 33, dan Beerkus, 32, bukan asing dalam komuniti “rooftopping”, iaitu aktiviti memanjat bangunan pencakar langit secara haram bagi merakam foto dan video di tempat tinggi. 

Kedua-duanya turut menjadi subjek dokumentari Netflix berjudul Skywalkers: A Love Story yang diterbitkan pada 2024. 

Pasangan itu juga pernah mencetuskan kontroversi di Malaysia selepas memanjat puncak Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur pada penghujung 2022, ketika bangunan kedua tertinggi dunia itu masih dalam fasa akhir pembinaan.

Susulan insiden tersebut, polis Malaysia membuka siasatan terhadap mereka atas dakwaan menceroboh tapak pembinaan dan memasuki kawasan larangan tanpa kebenaran. 

Must Watch Video

Advertisement