DUNIA
Pernah terjun dari sempadan angkasa, atlet sukan ekstrem maut nahas paragliding

Felix Baumgartner (kiri) ketika meraikan kejayaan setelah selesai mengendalikan pesawat Red Bull Stratos di Roswell, New Mexico pada tahun 2012. - Reuters
ROM: Atlet sukan ekstrem dari Austria Felix Baumgartner, maut dalam kemalangan ketika melakukan aktiviti paragliding di Itali pada Khamis, menurut Kementerian Luar Austria dan pasukan bomba Itali seperti dipetik Agensi Berita Jerman (dpa).
Atlet berusia 56 tahun itu, yang menjadi tajuk utama antarabangsa pada 2012 kerana terjunan udara bersejarahnya dari sempadan angkasa, terhempas di pusat peranginan tepi pantai Porto Sant'Elpidio di pantai Adriatik, kata mereka.
Pasukan bomba berkata Baumgartner terhempas ke dalam kolam renang di blok penginapan milik majlis perbandaran kira-kira 4 petang (1400 GMT) dan meninggal dunia di tempat kejadian. Disyaki beliau pengsan dan hilang kawalan ke atas paragliding bermotornya.
Mangsa turut terjatuh ke atas seorang pekerja hotel, yang kemudian dikejarkan ke hospital dengan kecederaan, menurut pihak bomba.Akhbar sukan Itali, La Gazzetta dello Sport, melaporkan pekerja itu tidak mengalami kecederaan serius. Menurut media Itali, beberapa tetamu berada di kolam renang hotel pada masa itu, tetapi tidak cedera dalam kemalangan itu.
Baumgartner meraih kemasyhuran dunia pada 2012 apabila menjadi manusia pertama mencapai kelajuan bunyi dalam terjunan bebas dari stratosfera.
Jutaan penonton menyaksikan secara langsung di televisyen dan dalam talian ketika beliau menjunam ke Bumi pada 2012, mencapai kelajuan lebih 1,300 kilometer sejam dan mencipta rekod penerbangan belon tertinggi serta terjunan payung terjun tertinggi dalam sejarah.
Baumgartner dilaporkan sedang bercuti di Itali bersama isterinya ketika nahas itu. -- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami