KUALA LUMPUR: Keluarga kepada pelajar perempuan tingkatan empat yang ditemukan maut disyaki dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor pada Sabtu berharap keadilan dapat ditegakkan buat arwah Irene Sofiya.
Bapa mangsa, Mohd Khairool Faisal Khyar berkata dia turut berharap sokongan semua untuk membawa keadilan buat arwah.
Beliau antara lain memohon spekulasi tidak benar tentang Irene di media sosial dapat dihentikan bagi menjaga maruah arwah anaknya.
"Kami harap… kami berterima kasih kepada semua yang datang, dan kami harap dapat… sokongan semua untuk tegakkan keadilan untuk anak saya, arwah anak saya. Itu yang kami harap," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Irene di Tanah Perkuburan Islam Parit Arshad, Yong Peng, Batu Pahat, Johor kira-kira 7.50 malam tadi.
Suasana hiba menyelubungi perjalanan terakhir Irene di tanah perkuburan yang dihadiri lebih 200 ahli keluarga, saudara, rakan, guru dan penduduk kampung.
Jenazah Irene sebelum itu selesai proses bedah siasat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor lebih kurang jam 6 petang.
Jenazah tiba di perkarangan rumah datuk dan neneknya di Kampung Parit Selamat dan kemudiannya disembahyangkan di rumah itu.