PARIS: Rakyat Perancis keluar mengundi pada Ahad bagi pusingan kedua dan penentu pilihan raya tempatan di seluruh negara, dengan beberapa pertandingan jawatan datuk bandar utama akan ditentukan di Paris, Marseille dan Lyon, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Keputusan dijangka diumumkan sekitar 8 malam (1900 GMT), namun proses pengiraan undi dijangka mengambil masa sebelum selesai sepenuhnya.
Advertisement
Pusingan kedua pilihan raya ini melibatkan lebih 1,500 majlis perbandaran di Perancis.
Bagi baki 33,000 majlis perbandaran yang kebanyakannya lebih kecil, pemenang telah pun ditentukan selepas pusingan pertama pengundian pada Ahad lepas.
Di Paris, terdapat kemungkinan berlaku perubahan kuasa selepas lebih 25 tahun pemerintahan Parti Sosialis.
Persaingan sengit dijangka antara calon Sosialis Emmanuel Gregoire dan Rachida Dati daripada parti konservatif Republicans untuk menggantikan Anne Hidalgo yang akan berundur.
Di bandar kedua terbesar Perancis, Marseille, penyandang daripada sayap kiri Benoit Payan berdepan cabaran daripada calon sayap kanan Franck Allisio.
Kemenangan Allisio akan memberi lonjakan besar kepada Parti National Rally pimpinan Marine Le Pen menjelang pilihan raya presiden tahun depan.
-- BERNAMA-dpa