Pertelingkahan berkaitan dadah, wang punca lelaki dibunuh, anggota badan dikerat

Kejadian pembunuhan yang menggemparkan Ludhiana pada tahun ini. - Foto Sinar Harian/Agensi
LUDHIANA: Polis India percaya bahawa pertelingkahan berkaitan dadah atau wang menjadi punca di sebalik pembunuhan kejam seorang lelaki, yang mayatnya ditemui dikerat enam bahagian, dengan kepala dimasukkan ke dalam tong plastik putih, manakala anggota badan lain, termasuk tangan dan kaki, dibuang berselerak di kawasan sekitar lebuh raya Jalandhar.
Mangsa, Davinder, 30, penduduk Kampung Bhora, bekerja dalam bidang percetakan digital di Mumbai dan pulang ke Ludhiana pada 6 Januari 2025 untuk membeli mesin.
Selepas meninggalkan rumah pada petang itu untuk bertemu rakannya, dia tidak kembali.
Keesokan harinya, seorang pemungut barangan lusuh menemui tong plastik putih berisi kepala manusia, yang mendedahkan salah satu kes pembunuhan paling mengerikan di Ludhiana dalam beberapa tahun ini.
Anggota badan lain ditemui dalam radius 500 meter, sesetengahnya menunjukkan kesan terbakar, dipercayai cubaan untuk memusnahkan bukti.
Pemeriksaan polis menumpukan siasatan ke atas Shamsher Singh Shera dan isterinya Kuldeep Kaur, rakan rapat mangsa.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pasangan itu mengangkut tong yang sama berulang kali menggunakan motosikal, sekali gus mengukuhkan dakwaan penglibatan mereka dalam jenayah itu.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Ludhiana (ADCP-I),Sameer Verma, mayat mangsa dipercayai dikerat selepas kematian, dengan kesan terbakar menunjukkan cubaan untuk menghapuskan bukti.
Kes pembunuhan kini didaftarkan terhadap kedua-dua suspek.
Ahli keluarga mangsa mendedahkan, terdapat perselisihan sebelumnya antara mangsa dan Shera berkaitan aktiviti pengedaran dadah, yang dipercayai mencetuskan pertelingkahan sehingga bertukar kepada pembunuhan.
Motif sebenar, sama ada berkaitan dadah atau wang, dijangka dapat dikenalpasti selepas penahanan suspek.
Davinder meninggalkan seorang isteri dan bayi perempuan berusia tujuh bulan, manakala penduduk Ludhiana digegarkan oleh corak jenayah yang menonjolkan pembunuhan kejam, pembuangan mayat, dan cubaan menyembunyikan jenayah dalam tong serta kawasan terbuka. - Sinar Harian memetik agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


