TEHRAN: Ketua Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menegaskan program pembangunan peluru berpandu Iran akan diteruskan meskipun negara itu berdepan tekanan, ancaman dan sekatan antarabangsa.
Kenyataan itu dibuat ketika Israel mengarahkan tenteranya meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan serangan terhadap Iran susulan ketegangan yang terus memuncak antara kedua-dua negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Yang Dipertua Parlimen Iran yang juga ketua perunding Tehran, Mohammad Bagher Ghalibaf, berkata Amerika Syarikat (AS) kini perlu membuat keputusan berhubung cadangan terbaharu yang dikemukakan Iran bagi meneruskan usaha diplomatik mengenai program nuklear negara itu.
Menurut beliau, Tehran telah menyampaikan cadangannya dan kini menunggu pendirian rasmi Washington.
Perkembangan itu berlaku selepas Iran menolak cadangan AS supaya stok uranium diperkaya sehingga 60 peratus miliknya dipindahkan ke negara ketiga sebagai sebahagian daripada langkah membina keyakinan dalam rundingan nuklear.
Isu program peluru berpandu dan aktiviti nuklear kekal menjadi antara pertikaian utama antara Iran dan kuasa Barat, ketika usaha mencari penyelesaian diplomatik masih belum menunjukkan kemajuan yang ketara.