Skip to main content

Politik

PRN Melaka: ‘YB Beliau’ jelajah 80 peratus kawasan, yakin masih berbisa

NORHIZAM: Mereka baru nak menabur janji, saya sudah menabur bakti. - Astro AWANI
NORHIZAM: Mereka baru nak menabur janji, saya sudah menabur bakti. - Astro AWANI
Advertisement

MELAKA TENGAH: Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Norhizam Hassan Baktee yakin rekod perkhidmatannya sebelum ini masih menjadi sandaran untuk kembali meraih mandat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.

Dikenali sebagai  ‘YB Beliau’ dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut  itu berkata penerimaan pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka amat positif.

Menurut Norhizam, beliau sudah menjelajah hampir 80 peratus kawasan Pengkalan Batu menerusi kempen dari rumah ke rumah.

Advertisement

Katanya, pengalaman sebagai bekas wakil rakyat dan EXCO Kerajaan Negeri Melaka memudahkannya mendekati semula penduduk yang pernah menerima khidmatnya.

“Bila kita turun dan mengetuk pintu sambil bertanya, ‘kenal tak saya?’, mereka menjawab, ‘Oh, kenal Datuk! Datuk, come back. Try the best,’” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini semalam.

Advertisement

Norhizam sebelum ini memenangi kerusi berkenaan atas tiket Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Beliau kemudian meninggalkan DAP sebelum bertanding sebagai calon Bebas pada PRN Melaka 2021, namun tewas selepas memperoleh 1,218 undi.

Kerusi itu dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kalsom Noordin, dengan memperoleh 4,839 undi dan majoriti tipis 131 undi pada PRN Melaka 2021. 

Mengulas penyertaannya sebagai calon Bebas ketika itu, Norhizam berkata keputusan tersebut bertujuan mengukur sejauh mana sokongan peribadi pengundi terhadapnya.

“Sejauh mana kalau saya bertanding tiket bebas, orang sokong saya sampai mana, tahap mana? Itu kayu pengukur saya untuk saya simpan,” katanya.

Dalam pada itu, Norhizam berkata masalah perparitan antara keluhan utama penduduk, khususnya di kawasan kampung yang dikelilingi pembangunan pesat.

Beliau turut membangkitkan isu bantuan pendidikan, kebajikan dan peluang ekonomi yang menurutnya memerlukan perhatian sekiranya kembali dipilih sebagai wakil rakyat.

"Saya tidak janjikan bulan dan bintang tapi saya janjikan penyelesaian yang boleh dilakukan. Mereka baru nak menabur janji, Datuk Norhizam sudah menabur bakti," katanya lagi.

Pada PRN kali ini, Norhizam berdepan pertandingan empat penjuru menentang Siti Aisyah Mahmood daripada BN, Jason Tze-Xi Nathan mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Goh Han Koon daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).

DUN Pengkalan Batu yang terletak dalam Parlimen Hang Tuah Jaya mempunyai seramai 25,948 pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement