TOKYO: Jepun mengesahkan kes pertama selesema burung bagi musim ini selepas wabak itu dikesan di sebuah ladang ternakan ayam di Wilayah Kyoto, menurut pihak berkuasa pada Khamis.
Kementerian Pertanian Jepun memaklumkan sebanyak 14 ekor ayam mati akibat jangkitan itu di sebuah ladang di bandar Kameoka, barat Jepun.
Susulan pengesahan virus berkenaan, pihak berkuasa memulakan operasi melupuskan kira-kira 20,000 ekor ayam di ladang terbabit sebagai langkah membendung penularan penyakit.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Minoru Kihara, menyeru penternak unggas di seluruh negara supaya memperketatkan amalan kebersihan dan biosekuriti bagi mengelakkan wabak merebak ke kawasan lain.
Setakat ini, pihak kementerian tidak mendedahkan jenis strain virus selesema burung yang dikesan dalam kes berkenaan.
Jepun lazimnya meningkatkan pemantauan terhadap industri ternakan unggas ketika musim migrasi burung liar, yang sering dikaitkan dengan penyebaran virus selesema burung.