KUALA LUMPUR: Pertemuan Duta Besar Malaysia ke Myanmar di Kementerian Elektrik dan Tenaga (MOEE) di Nay Pyi Taw pada 7 April, adalah untuk menyampaikan kepada MOEE berkenaan keputusan Petronas Carigali Myanmar (Hong Kong) Limited (PCML), anak syarikat Petronas, untuk menangguhkan operasi hulu projek gas Yetagun buat sementara waktu.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Wisma Putra memaklumkan, mesyuarat itu tidak bermaksud memberikan pengiktirafan atau sebaliknya kepada Majlis Pentadbiran Nasional (SAC), atau lebih dikenali sebagai junta tentera.

"Kedudukan Malaysia mengenai Myanmar jelas dan konsisten. Kami berterusan menyeru agar segera menghentikan keganasan, pembebasan segera tanpa syarat tahanan politik, dan penyambungan semula dialog inklusif yang melibatkan semua pihak terlibat demi proses peralihan politik secara damai untuk kepentingan Myanmar dan rakyatnya," kata Wisma Putra.

Terdahulu, satu hantaran di Twitter mempersoalkan tentang pertemuan berkenaan sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.