SINGAPURA: Perubahan iklim dijangka mengurangkan pengeluaran tanaman utama di seluruh Asia Tenggara, termasuk padi, jagung dan tebu, menurut kajian yang dikeluarkan Agensi Makanan Singapura dan Universiti Nasional Singapura pada Khamis, lapor Xinhua.
Kajian ASEAN Agri Climate Impact Twenty mengunjurkan purata pengeluaran padi menurun antara tiga hingga lima peratus bagi tempoh 2025 hingga 2044, manakala pengeluaran jagung dijangka merosot antara lima hingga enam peratus dan tebu antara satu hingga empat peratus.
Sebaliknya, pengeluaran ubi kayu diunjurkan meningkat sebanyak 16 peratus, manakala pengeluaran kacang soya dijangka bertambah antara 11 hingga 13 peratus.
"Unjuran purata yang lebih baik bagi sesetengah tanaman tidak bermakna tanaman berkenaan bebas daripada risiko berkaitan iklim. Pengeluaran masih boleh terjejas akibat perubahan keadaan iklim pada tahun tertentu, termasuk cuaca panas melampau, hujan lebat atau kemarau pada tahun yang mengalami keadaan cuaca tidak menggalakkan," menurut laporan itu.
Kajian itu mendapati fenomena El Niño yang sangat kuat boleh mengurangkan purata pengeluaran tanaman di seluruh rantau ini sehingga kira-kira 10 peratus.
Tanaman padi dan sistem pertanian yang bergantung pada air hujan secara amnya lebih terdedah kepada kesan fenomena berkenaan.
Secara keseluruhan, Asia Tenggara dijangka mengalami peningkatan suhu, gelombang haba yang lebih kerap dan berpanjangan serta taburan hujan yang semakin tidak menentu, yang berpotensi menjejaskan ketersediaan air, jadual penanaman dan hasil tanaman.
-- BERNAMA-XINHUA