Seorang petugas di sebuah zoo di Zurich, Switzerland, maut selepas diserang seekor harimau Siberia, pada Sabtu.

Kejadian ngeri itu berlaku ketika petugas terbabit memasuki kandang harimau berkenaan, dan ia turut disaksikan beberapa petugas lain serta pelawat.

Mereka berjaya memujuk harimau betina bernama Irina itu untuk meninggalkan mangsa dan membawanya keluar dari kandang.

Mangsa, seorang wanita berusia 55 tahun, maut di tempat kejadian.

Pengurusan zoo memaklumkan mereka sedang menyiasat punca kejadian serta mengapa petugas itu berada dalam kandang bersama harimau berkenaan.

Harimau Siberia itu yang berusia lima tahun, dilaporkan menunjukkan kelakuan normal sebelum kejadian, kata Pengarah Zoo, Severin Dressen.

"Kami kesal dan bersimpati dengan apa yang terjadi," kata Dressen, sambil menambah petugas itu sudah lama bekerja di zoo berkenaan.

Sesi kaunseling juga sudah diatur bagi mereka yang menyaksikan insiden tragis itu.

Zoo itu yang dilaporkan baru dibuka semula selepas beberapa bulan tidak beroperasi kerana perintah berkurung, kembali ditutup buat sementara waktu.