Skip to main content

Dunia

Pezeshkian gesa perpaduan rakyat Iran ketika AS tingkatkan tekanan ekonomi

Iranian President Masoud Pezeshkian attends a session of the Shanghai Cooperation Organisation (SCO) summit in Bishkek, Kyrgyzstan September 1, 2026. Sputnik/Vyacheslav Prokofyev/Pool via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY.
Pezeshkian menegaskan perpaduan nasional mampu menggagalkan sebarang usaha untuk mencetuskan ketidakstabilan dalam negara. - Foto REUTERS
Advertisement

TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menyeru rakyat dan pemimpin negara itu agar terus bersatu dalam menghadapi tekanan ekonomi yang semakin meningkat daripada Amerika Syarikat (AS), sambil menegaskan perpaduan nasional mampu menggagalkan sebarang usaha untuk mencetuskan ketidakstabilan dalam negara.

Washington bulan lalu mengumumkan apa yang disifatkannya sebagai "Economic D-Day" terhadap Tehran, iaitu pakej sekatan paling ketat yang pernah dikenakan AS dengan tujuan memutuskan sumber ekonomi yang menyokong kerajaan Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Menurut Pezeshkian, sekatan tersebut tidak akan memaksa kerajaannya membuat perubahan dasar secara mendadak yang boleh mencetuskan ketegangan sosial.

“Melalui perang, sekatan dan kepungan ekonomi, musuh berusaha mewujudkan perpecahan dan kekacauan dalam negara,” katanya kepada pegawai kerajaan pada Jumaat.

Beliau mengakui Iran masih berdepan masalah ekonomi yang serius, termasuk kekurangan bekalan tenaga, penyeludupan bahan api, kerosakan infrastruktur minyak dan gas serta inflasi yang menjejaskan kehidupan rakyat.

Pezeshkian bagaimanapun memberi amaran bahawa kenaikan harga petrol secara menyeluruh boleh menambah beban rakyat dan meningkatkan tekanan kos sara hidup.

Mata wang Iran terus merosot apabila rial mencatat paras terendah baharu melebihi 2.25 juta rial bagi setiap dolar AS pada Sabtu.

Dalam masa sama, ketegangan antara Iran dan AS terus berlarutan. Tentera AS dilaporkan menyerang sebuah kapal tangki minyak berhampiran Pulau Kharg pada Sabtu, beberapa hari selepas siri serangan terhadap sasaran di selatan Iran dan perairan Selat Hormuz.

Kerajaan Iran menyatakan ia bersedia kembali mematuhi komitmen yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman dengan Washington yang ditandatangani pada Jun lalu, sekiranya AS turut berbuat demikian.

Peningkatan tekanan ekonomi dan ketidakpuasan hati rakyat turut mendorong pihak berkuasa Iran mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan berlakunya protes.

Pegawai keselamatan dan kehakiman negara itu menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didakwa mengancam keselamatan negara atau cuba menghasut keganasan awam.

Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, sebelum ini turut menekankan kepentingan perpaduan nasional, sambil menegaskan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian sosial adalah dilarang.

 

 

Must Watch Video

Advertisement