INTERNATIONAL
Pihak berkuasa Gaza beri amaran jenayah Israel di Rafah susulan arahan pemindahan

Pihak berkuasa Gaza memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya jenayah Israel di Rafah, selatan Gaza, susulan arahan pemindahan yang dikeluarkan tentera Israel serta serangan yang semakin giat. - Foto fail/AP
ANKARA: Pihak berkuasa Gaza memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya jenayah Israel di Rafah, selatan Gaza, susulan arahan pemindahan yang dikeluarkan tentera Israel serta serangan yang semakin giat.
Menurut Anadolu Ajansi, Kementerian Dalam Negeri Gaza dalam kenyataan pada Isnin berkata ancaman Israel akan "memburukkan lagi keadaan yang sudah pun amat kritikal" yang dihadapi penduduk Gaza, sambil memberi amaran mengenai "peningkatan jenayah terhadap rakyat Palestin."
Kenyataan itu turut menggesa masyarakat antarabangsa dan pihak perantara supaya "segera campur tangan dan menekan Israel bagi menghentikan arahan pemindahan" serta usaha untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza.
Laporan itu menyatakan jurucakap tentera Israel Avichay Adraee telah mengarahkan pemindahan penduduk Palestin di beberapa kawasan Rafah, termasuk Al-Shawka, Al-Nasr serta kejiranan Al-Salam, Al-Manara dan Qizan an-Najjar.Rafah mempunyai populasi melebihi 300,000 orang semasa sebelum perang. Ketika bulan-bulan awal serangan Israel pada Oktober 2023, jumlah penduduk di bandar itu meningkat apabila lebih satu juta rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal mencari perlindungan di sana, sebelum mereka sekali lagi terpaksa berpindah apabila Israel melancarkan serangan darat ke atas Rafah pada Mei 2024.
Sementara itu, Anadolu Ajansi turut melaporkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Isnin menyatakan sekurang-kurangnya 322 kanak-kanak telah terbunuh dan 609 lagi cedera di Gaza dalam tempoh 10 hari lepas susulan kegagalan gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Pengarah Eksekutif UNICEF Catherine Russell berkata: "Gencatan senjata di Gaza memberikan talian hayat yang amat diperlukan bagi kanak-kanak Gaza dan harapan untuk pemulihan."
"Tetapi kanak-kanak sekali lagi terjerumus dalam satu kitaran keganasan dan penderitaan. Semua pihak mesti mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa bagi melindungi kanak-kanak," katanya.
Sebahagian besar kanak-kanak yang terbunuh adalah mereka yang kehilangan tempat tinggal dan berlindung di khemah sementara atau rumah yang rosak, menurut UNICEF.
Israel kembali melancarkan pengeboman besar-besaran ke atas Gaza pada 18 Mac, menamatkan gencatan senjata hampir dua bulan di wilayah itu, yang telah mengorbankan lebih 50,000 orang sejak 7 Okt 2023.
Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat sekali lagi dilaporkan berusaha menjadi perantara bagi mencapai gencatan senjata serta mendapatkan pembebasan tawanan Israel dan tahanan Palestin.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami