Skip to main content
Advertisement

Dunia

Pihak berkuasa Gaza laporkan lebih 5,100 pelanggaran gencatan senjata oleh Israel

Destroyed and damaged buildings remain in Gaza, as seen from the Israeli side of the border, September 23, 2026. REUTERS/Amir Cohen
Lebih 201,000 bangunan, bersamaan 82 peratus daripada keseluruhan struktur di Semenanjung Gaza mengalami kerosakan. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

BANDARAYA GAZA: Israel melakukan 5,147 pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata di Gaza yang berkuat kuasa sejak 10 Okt 2025, mengakibatkan 1,421 rakyat Palestin terbunuh, menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik Pejabat Media Kerajaan pada Selasa.

Pejabat berkenaan memberi amaran mengenai bencana kemanusiaan yang bakal berlaku ketika musim sejuk semakin hampir.

“Keadaan kemanusiaan dan bantuan di Semenanjung Gaza menjadi berbahaya dan dahsyat, mendedahkan ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal kepada akibat yang membawa maut,” jelas pejabat itu dalam satu kenyataan.

Pejabat itu turut menolak dakwaan Israel bahawa bekalan yang mencukupi dibenarkan memasuki Gaza sebagai “mengelirukan”.

“Israel hanya membenarkan 35 peratus daripada jumlah trak yang dipersetujui, yang membawa bantuan kemanusiaan, bantuan kecemasan dan bahan pembinaan semula, memasuki kawasan itu,” menurut pejabat berkenaan.

“Hanya 72,826 trak dibenarkan masuk daripada 210,600 trak bantuan kemanusiaan, bantuan kecemasan serta trak yang membawa bahan pembinaan semula yang sepatutnya memasuki Gaza di bawah perjanjian.

“Hanya 13,785 orang dibenarkan keluar atau memasuki kawasan itu daripada 35,000 yang dijangka melakukan perjalanan, mewakili kadar pematuhan tidak melebihi 39 peratus,” menurut kenyataan itu.

Pada Isnin, imej terkini di Google Maps menunjukkan perubahan ketara terhadap landskap bandar Gaza, dengan kemusnahan bukan sahaja melibatkan bangunan individu tetapi juga seluruh blok kediaman, meninggalkan kawasan lapang yang luas di lokasi yang sebelum ini merupakan kawasan kejiranan yang padat penduduk.

Penilaian satelit terkini oleh Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOSAT) mendapati lebih 201,000 bangunan, bersamaan 82 peratus daripada keseluruhan struktur di Semenanjung Gaza mengalami kerosakan.

Sebilangan besar rakyat Palestin terus tinggal di dalam khemah, tempat perlindungan sementara atau bangunan yang rosak, di tengah-tengah kekurangan bahan perlindungan serta kesukaran membaiki kediaman sebelum musim hujan tiba.

PBB menganggarkan bahawa 1.98 juta rakyat Palestin di Gaza memerlukan bantuan berkaitan tempat perlindungan daripada jumlah penduduk kira-kira 2.1 juta orang.

Sejak Oktober 2023, tentera Israel membunuh lebih 74,000 orang dan mencederakan lebih 175,000 yang menurut laporan, merupakan sebahagian daripada serangan genosid yang turut menyebabkan seluruh Semenanjung Gaza mengalami kemusnahan.

 -- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement