Skip to main content

Dunia

Hakim AS luluskan penjualan data Spirit Airlines kepada Google

Spirit Airlines yang terkenal sebagai syarikat penerbangan tambang murah, menghentikan operasi pada Mei lalu. - Gambar fail/ Reuters
Spirit Airlines yang terkenal sebagai syarikat penerbangan tambang murah, menghentikan operasi pada Mei lalu. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

NEW YORK: Seorang hakim kebankrapan persekutuan Amerika Syarikat (AS) meluluskan pembelian data perniagaan dalaman milik syarikat penerbangan Spirit Airlines oleh Google bernilai AS$10 juta (RM44 juta) pada satu prosiding di New York, pada Selasa.

Hakim Sean Lane membuat keputusan itu selepas syarikat induk Google, Alphabet bersetuju melaksanakan perlindungan privasi tambahan ke atas data berkenaan susulan kebimbangan yang dibangkitkan kesatuan pekerja dan lebih 120 anggota Kongres AS.

Spirit Airlines yang terkenal sebagai syarikat penerbangan tambang murah, menghentikan operasi pada Mei lalu.

Advertisement

Sebagai sebahagian daripada proses penutupan dan pelupusan aset syarikat itu, Google memenangi bidaan pada Ogos lalu untuk memperoleh data pekerja yang merangkumi e-mel, hamparan elektronik dan kalendar, selain data berkaitan pemasaran, produktiviti dan operasi.

Google sebelum ini memaklumkan, data tersebut akan digunakan bagi tujuan pembangunan produk serta latihan model kecerdasan buatan (AI).

Advertisement

Pada Oktober lalu, seorang ombudsman privasi mengesyorkan agar mahkamah meluluskan urus niaga itu selepas maklumat peribadi penumpang melibatkan 97 juta pelanggan Spirit Airlines dikecualikan daripada penjualan berkenaan.

Namun, sekumpulan penggubal undang-undang AS kemudian membangkitkan kebimbangan bahawa transaksi tersebut masih melibatkan ratusan juta e-mel pekerja dan mesej Microsoft Teams.

Mereka menggesa Google supaya mengecualikan sebanyak mungkin maklumat peribadi pekerja daripada urus niaga itu.

Minggu lalu, Kesatuan Pramugari-CWA (Association of Flight Attendants-CWA) memaklumkan Google bersetuju melaksanakan proses penyahpengenalan data yang lebih ketat berbanding pelan asal.

Menurut kesatuan itu, data pekerja yang mengandungi maklumat kesihatan dan perubatan turut akan dikecualikan daripada penjualan tersebut. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement