KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengambil langkah kawal selia dan strategi berstruktur bagi menjamin kestabilan bekalan dan kos elektrik daripada pusat data tidak menjejaskan pengguna domestik serta industri sedia ada.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan, antara pendekatan yang diambil termasuk pengenalan tarif Voltan Ultra Tinggi (UHV), peningkatan kadar Connected Load Charge (CLC) serta keperluan penggunaan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga boleh baharu (TBB) oleh pusat data.
“Pengenalan tarif UHV pada 1 Julai 2025 bagi pusat data yang menerima bekalan pada tahap voltan tinggi melebihi 50 kilovolt (kV) hingga 230kV serta voltan amat tinggi melebihi 230kV bertujuan memastikan kos pelaburan infrastruktur dibuat secara saksama melalui pengguna pusat data sendiri tanpa membebankan pengguna domestik.
“Selain itu, peningkatan kadar CLC bertujuan memastikan permintaan tenaga elektrik yang dipohon pusat data digunakan sepenuhnya mengikut jadual, sekali gus mengelakkan situasi kapasiti sedia ada yang tidak digunakan (stranded capacity),” maklum PETRA menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kementerian tersebut memaklumkan demikian sebagai menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas-Kuala Kangsar) yang menanyakan tentang kemampuan semasa bekalan elektrik negara dalam menampung pertumbuhan pusat data dan apakah jaminan pertumbuhan pusat data ini tidak menjejaskan kestabilan bekalan dan kos elektrik kepada para pengguna.
Menurut kementerian itu, kerajaan turut menggalakkan pengendali pusat data membina dan memperoleh penjanaan sendiri serta memanfaatkan backup generator (penjana sokongan) melalui mekanisme pengurusan permintaan bagi mengurangkan beban dan tekanan kepada sistem grid nasional, terutamanya pada waktu puncak dan tempoh rizab operasi rendah.
Disamping itu, pengendali pusat data juga turut digalakkan menyertai Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bagi mendapatkan bekalan tenaga hijau secara langsung.
PETRA menegaskan, keupayaan sistem pembekalan tenaga elektrik negara ketika ini masih terjamin dan selari dengan unjuran yang diluluskan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET).
Unjuran berkenaan diterjemahkan kepada kuota pusat data yang diluluskan menerusi Majlis Tenaga Negara (MTN), sebelum diputuskan di peringkat Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) yang diurussetiakan bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Digital.
-- BERNAMA