KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sissi secara rasmi mengumumkan pada Isnin bahawa beliau akan bertanding dalam pilihan raya presiden untuk penggal ketiga yang dijadual diadakan pada Disember, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Al-Sissi, yang penggal terkini beliau berakhir pada April, dijangka akan memenangi pilihan raya itu.

Pilihan raya itu akan diadakan tengah-tengah krisis ekonomi, inflasi dan mata wang tempatan yang merosot dengan ketara.

"Saya telah memutuskan untuk mencalonkan diri saya untuk melengkapkan impian itu semasa penggal presiden yang baharu," katanya membuat pengumuman tersebut semasa berucap di televisyen.

Televisyen pro-kerajaan menunjukkan ribuan rakyat Mesir meraikan pengumuman Al-Sissi setelah mengikuti ucapan beliau menerusi skrin luar di beberapa bandar di negara itu.

Al-Sissi juga berkata beliau "sangat gembira dengan kepelbagaian calon-calon" dan mengatakan bahawa beliau menghormati mereka.

Beberapa pemimpin dalam parti-parti politik yang setia kepada al-Sissi telah mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

Ahli politik pembangkang, Ahmed al-Tanatawi, seorang bekas Ahli Parlimen, juga mengatakan bahawa beliau akan bertanding, dan menuduh agensi keselamatan telah menangkap beberapa penyokongnya.

Pilihan raya itu akan diadakan selama tiga hari bermula dari 10 hingga 12 Disember, dengan rakyat Mesir yang tinggal di luar negara boleh membuang undi mereka dari 1 hingga 3 Disember.

Pendaftaran calon akan dibuka pada 5 Oktober.

Menurut media tempatan, kira-kira 65 juta rakyat Mesir layak mengundi.

Al-Sissi mula memegang jawatan itu pada tahun 2014 dan dipilih semula pada tahun 2018.

Jika beliau menang, beliau akan memerintah negara ini untuk tempoh enam tahun. - BERNAMA-dpa