PILIHAN raya umum Taiwan akan berlangsung pada Sabtu yang bakal menyaksikan kitra-kira 19 juta warga negara tersebut keluar mengundi untuk memilih presiden dan parlimen baharu.

Hubungan antara Taiwan dan China yang semakin tegang menjadi fokus kempen pilihan raya umum kali ini.

Mari kita kenali dua calon utama yang akan bertanding pilihan raya umum kali ini.

Calon parti pemerintah, Parti Progresif Demokratik (DPP) Tsai Ing Wen akan mempertahankan jawatannya sebagai presiden.

Sejak mengambil tampuk pemerintahan pada 2016, Tsai dengan agresif memperjuangkan agenda kemerdekaan dari China.

Tahun lepas, parti beliau berdepan kekalahan paling teruk dalam pilihan raya tempatan.

Rata-rata rakyat tidak berpuas hati kerana ekonomi Taiwan meleset, sementara pembaharuan ke atas sistem pencen yang diperkenalkan Tsai mendapat kritikan hebat dari rakyat.

Sejak mengambil tampuk pemerintahan pada 2016, Tsai dengan agresif memperjuangkan agenda kemerdekaan dari China. Foto: AP

Namun, sokongan terhadap Tsai kembali pulih gara-gara protes pro-demokrasi berpanjangan di Hong Kong menyebabkan rakyat Taiwan mahukan kurang campur tangan dari China.

Tsai menolak tawaran 'satu negara dua sistem' dari China yang dipraktikkan di Hong Kong.

Beliau kini dilihat sebagai pemimpin memperjuangkan kedaulatan dan demokrasi Taiwan.


BACA: Protes Hong Kong yakinkan rakyat Taiwan sokong Ing-wen

BACA: Taiwan Elections: What's at stake and why the HK protests could be a deciding factor

Pencabar terdekat Tsai ialah calon parti nasionalis, Parti Kuomintang, Han Kuo Yo.

Parti tersebut adalah pro-Beijing dan mahu rapatkan hubungan dan kerjasama dua hala antara Taiwan dan China.

Han mencapai populariti di Taiwan selepas menang jawatan Datuk Bandar Kaohsiung, kubu kuat parti pemerintah DPP.


Han mencapai populariti di Taiwan selepas menang jawatan Datuk Bandar Kaohsiung, kubu kuat parti pemerintah DPP. Foto: AP

Tahun lepas, Han mencetuskan kontroversi selepas bertemu dengan beberapa pegawai kanan dari China.

Personaliti beliau disamakan dengan Donald Trump kerana sering kali mengeluarkan komen berunsur kontroversi.

Dalam masa sama, Han hebat dalam penggunaan media sosial dalam meraih sokongan orang ramai.

Apa yang pasti, China akan memerhati dengan dekat pilihan raya Taiwan dan sebarang usaha ke arah kemerdekaan pulau yang dianggap miliknya itu.