TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucapan dasar di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31, yang dijangka menjadi pentas penting Malaysia mengetengahkan naratifnya dalam landskap geopolitik global.
Ucapan bertemakan 'Navigating Strategic Uncertainty' itu akan menyentuh peranan Malaysia dalam mendepani cabaran ketidaktentuan global dan meneroka peluang baharu untuk kemakmuran serantau.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany, penyertaan Anwar dalam forum berprestij itu akan meningkatkan lagi profil Malaysia di pentas antarabangsa.
“Kehadiran Perdana Menteri melalui penyampaian ucaptama ini akan menyerlahkan peranan aktif Malaysia dalam isu serantau dan global, selain memperkukuhkan imej negara sebagai rakan strategik yang progresif,” katanya.
Beliau berkata, platform Nikkei menghimpunkan pemimpin kerajaan, tokoh korporat dan pakar dari seluruh dunia untuk membincangkan hala tuju ekonomi serta geopolitik Asia.
“Ia merupakan platform dialog peringkat tertinggi yang memberi ruang kepada Malaysia untuk mengetengahkan pandangan dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks,” katanya dalam sidang media pembuka tirai di Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo pada Isnin.
Selain forum tersebut, Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo bertajuk 'Humanity in a Human-Machine Civilisation', yang menyentuh keseimbangan antara kemajuan teknologi dan nilai kemanusiaan sejajar konsep Malaysia MADANI.
Anwar dijadualkan akan mengadakan lawatan rasmi ke Jepun selama tiga hari dari 8 hingga 10 Jun 2026.