DUNIA
PM Australia: Penafian Israel terhadap kebuluran di Gaza "tidak dapat diterima akal"

Albanese (gambar) menolak kenyataan Netanyahu dan diplomat Israel yang menyifatkan laporan kebuluran sebagai propaganda Hamas. - Foto Reuters
CANBERRA: Perdana Menteri Australia Anthony Albanese menyifatkan penafian Israel terhadap kebuluran di Gaza sebagai "tidak dapat diterima akal", lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Albanese kecam penafian Israel terhadap kebuluran Gaza: Perdana Menteri Australia menyifatkan dakwaan Israel tiada kebuluran di Gaza sebagai "tidak masuk akal", sambil mengkritik halangan kemasukan wartawan ke wilayah itu.
- Pertikaian naratif antara Australia dan Israel: Albanese menolak kenyataan Netanyahu dan diplomat Israel yang menyifatkan laporan kebuluran sebagai propaganda Hamas, menyifatkan penafian bantuan serta kematian awam sebagai tidak boleh diterima.
- Syarat Australia untuk iktiraf Palestin: Australia belum menetapkan tarikh pengiktirafan negara Palestin, namun menegaskan keperluan reformasi demokratik sebagai syarat utama.
"Dakwaan bahawa tiada kebuluran di Gaza adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal," katanya.
Dalam satu hantaran di media sosial pada Isnin, Netanyahu berkata tiada kebuluran mahupun dasar kebuluran dilaksanakan di Gaza.
Meron pula dilaporkan memberitahu wartawan daripada beberapa agensi media Australia semasa taklimat di Canberra pada Isnin bahawa Israel tidak mengiktiraf sebarang kebuluran atau krisis makanan di Semenanjung Gaza dan mendakwa laporan berkenaan sebagai sebahagian daripada "kempen palsu" yang didalangi Hamas.
Kenyataan itu dibuat selepas Albanese dalam wawancara bersama Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada Ahad menyatakan bahawa Israel "jelas" melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyekat bantuan ke Gaza.
Beliau turut berkata dalam satu kenyataan pada Jumaat bahawa penafian bantuan dan pembunuhan orang awam "tidak boleh dipertahankan atau diabaikan".
Ketika ditanya pada mesyuarat Selasa mengenai bila Australia akan mengiktiraf negara Palestin, Albanese menjelaskan bahawa kerajaan pimpinannya menetapkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu, termasuk reformasi demokrasi.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami