PM Itali mahu calonkan Presiden Trump untuk Hadiah Nobel Keamanan

Meloni (kiri) yakin Trump berpotensi “membuat perubahan bermakna” dalam usaha mencapai keamanan yang adil dan berkekalan di Ukraine - sekali gus membuka ruang kepada Itali untuk mengemukakan pencalonan rasmi. - Gambar Reuters
ROM: Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menyatakan harapan untuk mencalonkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi Anugerah Nobel Keamanan sekiranya beliau berjaya membantu mencapai penyelesaian konflik di Ukraine.
Kenyataan itu dibuat dalam sidang media bersama Canselor Jerman, Friedrich Merz di Rom.
Meloni menegaskan keyakinannya bahawa Trump berpotensi “membuat perubahan bermakna” dalam usaha mencapai keamanan yang adil dan berkekalan di Ukraine - sekali gus membuka ruang kepada Itali untuk mengemukakan pencalonan rasmi.
Hubungan Itali-AS kekal kukuh
Mengulas hubungan dua hala, Meloni menegaskan bahawa kerjasama dengan Amerika Syarikat terus menjadi keutamaan, khususnya kerana Itali dan Jerman adalah antara negara Eropah yang mempunyai hubungan istimewa dengan Washington.
Ini termasuk kehadiran beberapa pangkalan tentera Amerika di kedua-dua negara berkenaan.
Beliau menambah, Itali perlu mengekalkan pendekatan pragmatik dan tidak beremosi dalam menguruskan hubungan dengan AS, terutamanya dalam konteks politik global yang semakin kompleks.
Kenyataan Meloni hadir selepas Trump sebelum ini melancarkan sebuah badan baharu yang dikenali sebagai Lembaga Keamanan pada asalnya diwujudkan untuk mengurus gencatan senjata Gaza tetapi kini berkembang menjadi mekanisme penyelesaian konflik antarabangsa lain.
Itali turut dijemput menyertai badan tersebut, namun Meloni menjelaskan, Perlembagaan Itali menghadkan penyertaan dalam organisasi yang dipimpin seorang pemimpin asing secara individu.
Trump sebelum ini turut menyatakan rasa kecewa kerana tidak memenangi Hadiah Nobel Keamanan, yang menurutnya menjejaskan komitmennya “untuk hanya memikirkan perdamaian semata-mata.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


