Skip to main content

Malaysia

Dialog Negara Bangsa: Sejarah membentuk identiti dan perpaduan Malaysia

Jaafar berkata, pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 perlu difahami sebagai satu proses yang melibatkan pengorbanan dan persefahaman antara wilayah, khususnya penyertaan Sabah dan Sarawak. - Astro AWANI
Jaafar berkata, pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 perlu difahami sebagai satu proses yang melibatkan pengorbanan dan persefahaman antara wilayah, khususnya penyertaan Sabah dan Sarawak. - Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Penghayatan sejarah pembentukan Malaysia penting untuk memahami asas negara bangsa, termasuk pengorbanan, persefahaman dan kompromi antara wilayah serta kaum.
  • Tragedi 13 Mei 1969 menjadi titik kesedaran penting untuk memperkukuh perpaduan dan menangani jurang sosioekonomi melalui pelaksanaan dasar seperti DEB dan penubuhan agensi berkaitan.
  • Penyertaan Sabah dan Sarawak pada 1963 memperluas asas kenegaraan, menambah kekuatan politik, ekonomi dan memastikan kepelbagaian kaum terus dihargai dalam identiti nasional.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penghayatan terhadap sejarah pembentukan Malaysia perlu terus diperkukuh bagi memastikan masyarakat memahami asas pembinaan negara bangsa, termasuk pengorbanan, persefahaman dan kompromi yang membentuk identiti negara hari ini.

Mantan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, pembentukan Malaysia bukan sekadar proses penyatuan wilayah, sebaliknya melibatkan usaha membina keseimbangan dalam masyarakat berbilang kaum serta mengukuhkan hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, sejarah negara memperlihatkan bagaimana kesan dasar penjajahan British, khususnya dasar pecah dan perintah, telah mewujudkan pemisahan masyarakat berdasarkan kaum, penempatan dan kegiatan ekonomi.

Advertisement

Katanya, keadaan itu turut menyumbang kepada ketidakseimbangan sosial yang akhirnya mencetuskan kesedaran tentang keperluan membina masyarakat yang lebih seimbang selepas negara mencapai kemerdekaan.

“Apabila kita melihat sejarah pembentukan negara, kita tidak boleh mengetepikan kesan peninggalan British menerusi dasar pecah dan perintah yang telah membentuk pemisahan masyarakat berdasarkan kaum dan kegiatan ekonomi.

Advertisement

“Perkara ini membangkitkan kesedaran bahawa pembinaan sebuah negara bangsa memerlukan usaha menyusun semula masyarakat supaya tidak wujud ketidakseimbangan yang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Dialog Negara Bangsa terbitan Astro AWANI dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang membincangkan topik Sejarah: Akar yang Membentuk Negara Bangsa.

Mengulas lanjut, Jaafar berkata, tragedi 13 Mei 1969 menjadi satu titik kesedaran penting kepada kerajaan dan masyarakat mengenai keperluan memperkukuh perpaduan serta menangani jurang sosioekonomi antara kaum.

Jelasnya, penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dipimpin Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein selepas tragedi itu membuka ruang kepada pelaksanaan beberapa dasar penting dalam usaha membina semula struktur masyarakat.

Antaranya termasuk penubuhan Jabatan Perpaduan Negara, pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta penubuhan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tragedi 13 Mei memang merupakan satu peristiwa hitam kepada negara, tetapi ia turut memberikan kesedaran tentang pentingnya melihat kepentingan semua kaum dan bagaimana keseimbangan masyarakat dapat diwujudkan.

“Kita tidak boleh membiarkan sesuatu kaum terus dikaitkan dengan sektor ekonomi atau pekerjaan tertentu kerana keadaan sedemikian tidak baik untuk pembinaan sebuah negara yang merdeka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 perlu difahami sebagai satu proses yang melibatkan pengorbanan dan persefahaman antara wilayah, khususnya penyertaan Sabah dan Sarawak.

Katanya, kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 merupakan satu fasa penting, namun pembentukan Malaysia enam tahun kemudian telah memperluas asas kenegaraan dengan penyertaan kedua-dua wilayah berkenaan.

Menurutnya, sambutan Hari Malaysia diperkenalkan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan kedudukan Sabah serta Sarawak dalam pembentukan negara, sekali gus memastikan masyarakat di kedua-dua wilayah itu tidak berasa terpinggir daripada naratif kemerdekaan negara.

“Kita perlu melihat bahawa pada 31 Ogos 1957, yang mencapai kemerdekaan ialah Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai pembentukan Malaysia pada 1963, terbentuklah sebuah negara yang lebih besar.

“Kita tidak boleh mempertikaikan kedudukan Sabah dan Sarawak kerana kedua-duanya merupakan sebahagian daripada negara bangsa Malaysia. Pembentukan ini melibatkan pengorbanan dan persefahaman yang perlu terus dihargai,” katanya.

Tambah beliau, penyertaan Sabah dan Sarawak turut memberikan dimensi lebih luas kepada Malaysia dari segi kekuatan politik, ekonomi, kependudukan dan keselamatan.

Sehubungan itu, beliau berpandangan sejarah pembentukan Malaysia perlu terus difahami oleh generasi muda supaya identiti nasional dapat diperkukuh tanpa mengetepikan kepelbagaian kaum, budaya dan latar belakang masyarakat.

 

 

Must Watch Video

Advertisement