PM Kanada nafi tarik balik kenyataan di Davos selepas berbual dengan Trump

Carney tidak berganjak daripada kenyataannya di Forum Ekonomi Dunia di Davos, di mana beliau menyeru negara-negara supaya menerima hakikat perubahan kepada sistem dunia yang tidak lagi berasaskan peraturan tradisional. - Gambar Reuters
OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, pada Selasa menafikan dakwaan beliau menarik semula kenyataannya yang menimbulkan rasa tidak senang Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, minggu lalu, selepas kedua-duanya mengadakan perbualan telefon sehari sebelumnya.
Carney berkata, beliau memang bercakap dengan Trump pada Isnin, namun menegaskan, beliau tidak berganjak daripada kenyataannya di Forum Ekonomi Dunia di Davos, di mana beliau menyeru negara-negara supaya menerima hakikat perubahan kepada sistem dunia yang tidak lagi berasaskan peraturan tradisional.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent\ sebelum ini mendakwa, Carney “sangat agresif menarik balik” beberapa kenyataan tersebut ketika perbualan itu berlangsung.
Dalam ucapannya di Davos, Carney merujuk kepada tarif Amerika Syarikat ke atas beberapa import utama Kanada, sambil menekankan usaha Ottawa untuk mempelbagaikan perdagangan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap AS, yang ketika ini mengambil sekitar 70 peratus eksport Kanada.
Trump bagaimanapun tidak berpuas hati dengan ucapan itu, malah membalas dengan mengatakan bahawa Kanada “hanya wujud kerana Amerika Syarikat”, sebelum memberi amaran bahawa beliau akan mengenakan tarif 100 peratus terhadap import Kanada sekiranya Ottawa memuktamadkan perjanjian dagangan dengan China.
“Untuk memperjelaskan, dan saya nyatakan ini kepada Presiden - saya maksudkan apa yang saya katakan di Davos,” kata Carney kepada media.
Ditanya mengenai rundingan semakan perjanjian perdagangan bebas AS-Meksiko-Kanada (USMCA) yang dijadualkan berlaku tahun ini, Carney berkata, ia mungkin menjadi faktor yang mempengaruhi kenyataan Trump sejak kebelakangan ini.
Carney turut menjelaskan bahawa beliau memberitahu Trump mengenai langkah Kanada menangani tarif tersebut dengan “membina kerjasama baharu di luar negara… dan memperkukuhkan kekuatan dalam negara, serta bersedia membangunkan hubungan baharu melalui USMCA”.
Katanya, Trump memahami penjelasan itu.
Semasa beliau beredar, wartawan sekali lagi bertanya sama ada beliau sebenarnya menarik balik kenyataan Davos ketika perbualan itu berlangsung. “Tidak,” jawab Carney ringkas. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


