JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap sejumlah akaun mencurigakan di media sosial yang memuat naik pelbagai dakwaan serta fitnah berhubung projek pembangunan dan kemudahan awam di negeri itu.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata tindakan diambil supaya siasatan dapat dijalankan berhubung kesahihan akaun, kandungan yang disebarkan serta kemungkinan wujudnya aktiviti yang dilakukan secara berkoordinasi.
Beliau berkata kebanyakan hantaran dikesan menggunakan ayat serta naratif yang hampir sama, selain mendakwa kononnya wujud projek bernilai ratusan juta ringgit dan menyebut nama syarikat yang pelik serta meragukan.
"Saya berharap agar tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Onn Hafiz berkata sebahagian besar akaun berkenaan tidak mempunyai sebarang pengikut, sekali gus menjelaskan pihaknya sentiasa terbuka menerima teguran, kritikan dan aduan rakyat.
"Insya-Allah, setiap aduan akan disemak dan diambil tindakan. Tetapi kalau ada pihak yang sengaja menggunakan akaun palsu untuk mereka-reka cerita atau menyebarkan maklumat tidak benar bagi menghasut rakyat, perkara ini tidak boleh dipandang ringan," katanya.
Onn Hafiz turut menyuarakan harapan agar budaya politik yang matang dan bertanggungjawab terus diamalkan dalam musim pilihan raya.
Beliau berkata perbezaan pandangan, kritikan atau tidak bersetuju tentang sesuatu perkara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah atau mengelirukan rakyat.
Pada masa sama, beliau menasihati rakyat supaya sentiasa berhati-hati dan menyemak kesahihan setiap maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
-- BERNAMA