MANILA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri beberapa siri mesyuarat sidang kemuncak pada hari ketiga lawatan beliau ke Manila hari ini, sebelum berlepas pulang ke Malaysia petang ini.
Anwar dijadual menerima lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang akan tiba di Malaysia pada pagi 17 Nov.
Perdana Menteri dijadual kembali semula ke Manila pada petang esok untuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat serta majlis makan malam yang dihoskan oleh Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.
Hari ini, Anwar dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29, yang menyaksikan beliau menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN bagi pihak blok itu, selain Kenyataan Negara.
Malaysia merupakan negara penyelaras ASEAN bagi hubungan dialog dengan China.
Beliau juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN bersama dengan Australia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Korea Selatan, dengan Perdana Menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara pada setiap mesyuarat berkenaan.
Sidang Kemuncak ASEAN-China berlangsung ketika kedua-dua pihak berusaha memuktamadkan rundingan mengenai Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan menjelang akhir tahun ini.
Semalam, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma. Theresa Lazaro berkata, rundingan mengenai COC di Laut China Selatan kini memasuki fasa akhir, dengan persetujuan sementara dicapai bagi kira-kira 80 peratus daripada draf COC berkenaan.
Beliau berkata, rundingan itu dijangka berlanjutan melepasi sasaran 2026 dan diteruskan ketika Singapura memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2027.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang dianjurkan oleh Filipina di bawah tema “Navigating Our Future, Together”.
-- BERNAMA