ISLAMABAD: Perdana Menteri Nepal Balendra Shah pada Selasa menekankan risiko yang semakin meningkat akibat perubahan iklim ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan selepas bencana banjir kilat yang dahsyat melanda negara Himalaya itu minggu lepas, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam hantaran di akaun Facebook, Shah berkata banjir kilat baru-baru ini antara bencana terbesar di rantau itu, yang dicetuskan oleh runtuhan salji dan batu di kawasan Himalaya.
“Kejadian ini menunjukkan bahawa risiko yang kita hadapi di rantau Himalaya semakin meningkat seiring dengan perubahan iklim,” katanya.
“Oleh itu, rantau ini mesti terus berwaspada,” katanya.
Beliau turut berkata bahawa sudah tiba masanya untuk isu bencana yang dialami Nepal akibat perubahan iklim dibangkitkan dengan lebih tegas kepada masyarakat antarabangsa.
Shah berkata mayat mangsa yang maut dalam banjir dan tidak dapat dikenal pasti sedang diuruskan mengikut prosedur saintifik serta selaras dengan undang-undang.
Menurut beliau, kerajaan hanya menguruskan mayat yang identitinya tidak dapat dikenal pasti, sambil menyimpan DNA dan bukti lain yang boleh membantu proses pengecaman.
Pasukan penyelamat pada Selasa terus melakukan pencarian di sungai serta terowong projek hidroelektrik bagi mengesan mayat dan individu yang masih hilang.
Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh di Himalaya melebihi 1,019 orang pada Selasa, seminggu selepas bencana itu melanda kawasan sempadan antara Nepal dan China, menurut data rasmi.
Data dari Nepal dan China menunjukkan kira-kira 4,462 orang, termasuk 844 warga asing, masih hilang.
Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Kebangsaan Nepal berkata pasukan mencari dan menyelamat mengesahkan 84 lagi kematian, menjadikan jumlah kematian di sebelah sempadan Nepal kepada 1,003 orang manakala 3,916 orang, termasuk 583 warga asing, masih hilang.
Pihak berkuasa China mengesahkan 16 kematian manakala usaha mencari 546 orang yang dilaporkan hilang termasuk 261 warga asing, masih diteruskan.
-- BERNAMA-ANADOLU