NEW DELHI: Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menghubungi pemimpin negara Teluk pada Sabtu ketika krisis keselamatan mencengkam Timur Tengah selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.
“Pakistan berdiri teguh bersama Arab Saudi dan negara Teluk yang bersaudara pada waktu yang berbahaya ini,” kata Shehbaz dalam satu hantaran di X.
Advertisement
Perdana Menteri Pakistan itu mengadakan perbualan telefon dengan Amir Qatar Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman, dan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Bin Zayed Al Nahyan bagi mengecam “peningkatan berbahaya di peringkat serantau” susulan serangan AS-Israel dan serangan balas Iran.
Sebahagian serangan Iran menyasarkan lokasi di negara Teluk yang menempatkan pangkalan atau kemudahan ketenteraan Amerika.
“Pakistan mengecam serangan yang tidak berasas terhadap Republik Islam Iran. Serangan ini berlaku ketika usaha diplomatik sedang dijalankan untuk mencapai penyelesaian aman melalui rundingan,” menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan.
“Pakistan juga mengecam sekeras-kerasnya serangan Iran terhadap negara-negara bersaudara Arab Saudi, Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar dan UAE,” katanya, sambil menambah bahawa “serangan tanpa provokasi” itu merupakan pelanggaran jelas terhadap kedaulatan.
Had a telephone conversation this evening with my Dear Brother HH Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Amir of Qatar, to express Pakistan’s strong solidarity with the brotherly people of Qatar.
We strongly condemn the serious regional escalation from the Israeli attack on Iran…— Shehbaz Sharif (@CMShehbaz) February 28, 2026
I spoke with my dear brother HRH Crown Prince Mohammed bin Salman this evening to express Pakistan’s strong condemnation of the dangerous regional escalation following the Israeli attack on Iran and subsequent attacks in the Gulf region.
Pakistan stands in full solidarity with…— Shehbaz Sharif (@CMShehbaz) February 28, 2026
Spoke with my dear brother His Highness Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan to convey Pakistan’s strong condemnation of the dangerous regional escalation following the Israeli attack on Iran and the regrettable strikes against the UAE and other Gulf countries.
I expressed my deep…— Shehbaz Sharif (@CMShehbaz) February 28, 2026
Beberapa negara Islam lain termasuk Bangladesh, Uzbekistan dan Maldives turut menggesa supaya permusuhan dihentikan dan ketegangan dikendurkan, sambil menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa mesti dihormati.
Bangladesh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luarnya menyatakan kebimbangan terhadap tercetusnya permusuhan di Timur Tengah.
Ia menekankan “kepentingan menghormati kedaulatan dan integriti wilayah setiap negara di rantau ini” serta menggesa pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.
Maldives berkata pihaknya mengikuti perkembangan itu dengan “kebimbangan mendalam” sambil menggesa ketegangan dikendurkan dengan segera.
“Maldives menggesa pemulihan keamanan dan kestabilan, serta semua pihak bertindak dengan penuh penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan kewajipan mereka di bawah Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kedaulatan dan integriti wilayah semua negara mesti dihormati sepenuhnya oleh semua pihak pada setiap masa,” menurut Kementerian Luar negara itu.
Uzbekistan turut menyatakan kebimbangan terhadap ketidakstabilan yang semakin meningkat di seluruh rantau berkenaan.
“Kami menggesa semua pihak menunjukkan kawalan diri maksimum dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan serta membawa kepada implikasi ketenteraan, politik dan kemanusiaan yang serius,” menurut Kementerian Luar Uzbekistan.
“Kami menegaskan keperluan menangani krisis ini sepenuhnya selaras dengan undang-undang antarabangsa melalui usaha politik dan diplomatik, termasuk dialog yang membina dan boleh diterima bersama,” katanya.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dalam satu hantaran media sosial menyifatkan perang terhadap negaranya sebagai “sama sekali tanpa provokasi, menyalahi undang-undang dan tidak sah.”
Araghchi berkata beliau telah berhubung dengan rakan sejawat dari “negara jiran bersaudara” untuk menjelaskan bahawa Iran melaksanakan hak mempertahankan diri di bawah Piagam PBB.
“Kami tidak boleh hanya berdiam diri dan melihat. Mereka menyerang kami dan kami tidak bertindak balas semata-mata kerana pangkalan mereka berada di negara jiran yang bersahabat?” katanya dalam temu bual dengan NBC News.
Sekurang-kurangnya 201 orang terbunuh dan 747 lagi cedera dalam serangan AS dan Israel, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Iran pada Sabtu.
-- BERNAMA