PM Singapura lucut jawatan Pritam Singh sebagai Ketua Pembangkang

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Khamis melucutkan jawatan Pritam Singh (foto) sebagai Ketua Pembangkang (LO) berkuat kuasa serta-merta. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Khamis melucutkan jawatan Pritam Singh sebagai Ketua Pembangkang (LO) berkuat kuasa serta-merta.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Singapura melucutkan jawatan Ketua Pembangkang Pritam Singh berkuat kuasa serta-merta berikutan kesalahan jenayah dan ketidaksesuaian beliau.
- Keputusan tersebut bagi menjunjung kedaulatan undang-undang, maruah, dan integriti Parlimen serta untuk memastikan kesesuaian Pritam untuk jawatan tersebut.
- Parti Pekerja akan mencalonkan seorang Ahli Parlimen lain sebagai Ketua Pembangkang seterusnya yang harus memenuhi piawaian tinggi dan tidak terlibat dalam keterlibatan sebelumnya dengan COP.
"Oleh itu, pelantikan Encik Pritam sebagai LO akan dihentikan berkuat kuasa serta-merta," kata Wong dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri berkata keputusan itu perlu bagi menjunjung kedaulatan undang-undang, serta maruah dan integriti Parlimen.
Pritam disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Daerah atas dua pertuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP). Rayuannya ke Mahkamah Tinggi pada Disember 2025 turut ditolak.
Pertuduhan terhadap beliau berkaitan dengan keterangannya di hadapan COP, yang ditubuhkan pada November 2021 untuk menyiasat kontroversi pembohongan membabitkan ahli Parti Pekerja ketika itu, Raeesah Khan.
Wong berkata keputusan undang-undang tersebut adalah muktamad dan konklusif serta mesti dihormati sepenuhnya dalam menentukan kesesuaian Pritam untuk kekal sebagai Ketua Pembangkang.
Perdana Menteri berkata beliau telah menjemput Parti Pekerja untuk mencalonkan seorang lagi Ahli Parlimen yang dipilih bagi berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang seterusnya.
Beliau menarik perhatian bahawa calon berkenaan mestilah tidak terlibat dalam dapatan awal COP sebelum ini, dan perlu memenuhi piawaian tinggi yang diharapkan daripada jawatan tersebut.
"Saya berharap untuk menerima pencalonan mereka tidak lama lagi, supaya jawatan penting dalam demokrasi berparlimen kita ini tidak dibiarkan kosong terlalu lama," tambahnya.
Sementara itu, Parti Pekerja mengesahkan menerusi Facebook bahawa pihaknya telah menerima surat daripada Perdana Menteri dan akan mempertimbangkan kandungannya dengan teliti melalui proses dalaman sebelum memberikan maklum balas dalam masa terdekat.
Jawatan Ketua Pembangkang pertama kali ditubuhkan secara rasmi pada 2020. Peranan itu memikul tanggungjawab besar, termasuk mengetuai pembangkang dalam perbahasan mengenai rang undang-undang dan usul, serta mencalonkan ahli pembangkang ke Jawatankuasa Pilihan.
Ketua Pembangkang juga boleh diminta untuk mewakili Parlimen dalam majlis rasmi negara dan pertemuan dengan kenamaan asing, selain menerima taklimat sulit mengenai perkara berkepentingan nasional.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


