BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin menegaskan bahawa pelaksanaan skim Dompet Digital akan telus, bebas daripada rasuah dan penipuan demi kepentingan negara dan rakyat.

Jurucakap kerajaan Chai Wacharonke berkata Srettha menekankan bahawa skim itu merupakan dasar kerajaan untuk mencergaskan semula ekonomi dan meletakkan asas bagi ekonomi digital negara.

"Perdana Menteri berkata skim itu akan dilaksanakan mengikut peruntukan yang ditetapkan dalam perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

"Kerajaan akan melaksanakan skim itu dengan jujur, telus dan akauntabiliti serta berhemat dalam menjalankan aktiviti berkaitan dan mengekalkan disiplin kewangan yang ketat untuk kepentingan negara dan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Srettha mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Dompet Digital di Rumah Kerajaan pada Jumaat.

Skim Dompet Digital akan mengagihkan 10,000 baht (100 baht = RM13.24) kepada 50 juta rakyat berumur 16 tahun ke atas untuk membeli makanan, minuman dan barangan pengguna.

Bajet untuk skim itu dianggarkan sebanyak 500 bilion baht.

Bulan lepas, Srettha berkata skim itu akan dilancarkan menjelang Mei.

Pelan bantuan itu dikritik kerana dikatakan tidak bertanggungjawab secara fiskal dan mencetuskan inflasi.

-- BERNAMA